SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Tuesday, November 17, 2009

PENAMAAN AKAUN KWSP


Hanya 23 peratus buat penamaan KWSP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengadakan kempen kesedaran bagi mengingatkan anggotanya supaya membuat penamaan simpanan berikutan hanya 23 peratus daripada 12.4 juta anggota yang sudah berbuat demikian ketika ini.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata kempen kesedaran bermula hari ini bertujuan melindungi kebajikan keluarga sekiranya seseorang anggota meninggal dunia.

Beliau berkata dengan adanya penamaan, proses urusan bayaran pengeluaran kepada waris anggota dapat dipercepatkan, sekali gus dapat mengelak orang yang tersayang daripada menderita.

“Sejajar kempen ini, KWSP akan menyiarkan iklan radio dan akhbar mulai hari ini hingga 21 Disember bagi mengingatkan anggota supaya membuat dan mengemas kini penamaan KWSP mereka.

“Penamaan yang dikemas kini dapat memastikan simpanan anggota dibayar kepada waris yang dinamakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Nik Affendi berkata tanpa penamaan, waris anggota perlu mengemukakan pelbagai dokumen seperti surat kuasa mentadbir, surat probet atau perintah pembahagian pengeluaran simpanan anggota dan proses mendapatkan dokumen itu mengambil masa yang lama.

“Sebagai anggota KWSP, adalah penting untuk mereka sentiasa mengemas kini penamaan terutama jika berlaku sebarang perubahan dalam hidup seperti berkahwin, berlaku penceraian atau mendapat cahayamata,” katanya.

Menurutnya untuk membuat penamaan, anggota hanya perlu mengisi borang KWSP 4 dan menghantarnya kepada pejabat KWSP berdekatan, dan borang ini boleh didapati di pejabat-pejabat KWSP atau dimuat turun daripada laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.

Bernama