SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Wednesday, November 17, 2010

Tuesday, November 16, 2010

KHUTBAH AIDILADHA 1431H

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 2 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ للهِ الَّذِي جَعَلَ يَوْمَ عِيْدِ الأضْحَى أَسْعَدَ الأياَّمِ لنَاَ . وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا أَوْلانَا وَنَشْكُرُهُ عَلَى نِعَمِهِ الَّتِى بِهَا وَالانَا. وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ…… فَيَا إِخْوَانِيْ ! اتَّقُوْا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Sidang Kaum Muslimin Sekelian..
Setiap di dunia mempunyai regunya masing-masing. Hitam regunya putih, lelaki regunya perempuan, pagi regunya petang dan siang regunya malam. Inilah hakikat yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran :

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ (36

yang bermaksud : Maha Suci Tuhan yang Telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui. (Surah Yaasin, ayat 36)

Demikian juga firman Allah SWT :
وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Yang bermaksud : Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah. (Surah al-Zariyat, ayat 49)

Kebenaran ayat ini disahkan bukan sahaja oleh Allah SWT bahkan oleh penemuan ahli sains yang antara lain menemui proton yang berpasangan dengan elektron di dalam atom. Demikian juga dengan caj positif dan negatif di dalam arus eletrik. Semuanya membuktikan bahawa setiap apa yang ada di dunia ini ada pasangan atau regunya masing. Apa yang tidak mempunyai regu hanyalah zat Allah SWT.

Sesuai dengan kesucian zat Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Esa dan tidak ada sebarang sekutu bagiNya. Justeru, sangatlah besar dosa orang-orang yang meletakkan regu kepada Allah SWT di dalam apa jua bentuk pengabdian. Inilah yang dinamakan syirik yang tidak maaf bagimu di akhirat kelak.

Firman Allah SWT :
إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia Telah berbuat dosa yang besar. (An-Nisa’, ayat 48)

Jika setiap perkara mempunyai regu, maka hidup manusia juga mempunyai regu. Regunya ialah kematian. Begitu juga dunia, regunya ialah akhirat. Oleh kerana perjalanan hidup manusia ini tidak hanya terhenti di persinggahan dunia ini semata-mata tetapi akan bersambung sehingga ke akhirat, maka menjadi kewajipan bagi manusia mempersiapkan dirinya untuk menempuhi kehidupan di akhirat.

Kita bahkan seringkali melihat bagaimana jemaah-jemaah haji mengikuti kursus-kursus yang diadakan sebagai persiapan untuk menempuhi suasana haji yang sebenar, begitu juga dengan pelajar-pelajar yang akan menempuhi peperiksaan, dilatih dengan pelbagai tuisyen dan kelas tambahan untuk menempuhi peperiksaan, maka kehidupan akhirat dan peperiksaan di padang mahsyar lebih patut lagi diadakan kursus persediaan dan kelas tuisyennya yang tersendiri.

Untuk tujuan persediaan dan penyesuaian hidup di dunia dengan apa yang akan dtempuhi oleh manusia kelak di akhirat hanya diajar oleh Islam. Semua ideologi yang lain samada di atas nama sekular, nasionalis, sosialis, komunis dan sebagainya tidak pernah mengajar manusia bagaimana untuk hidup sejahtera di akhirat. Beleklah kitab-kitab rujukan ideologi ciptaan manusia ini, pastinya tidak ditemui sepatah kalimahpun berkenaan hidup selepas mati kelak. Tidak ditemui peringatan tentang syurga atau neraka serta dosa atau pahala.

Justeru, Islam melatih penganut-penganutnya tanpa mengira bangsa apa sekalipun untuk tunduk patuh kepada Allah SWT sebagai latihan untuk menempuhi kehidupan akhirat khususnya melalui ibadah seperti solat dan haji. Ibadah solat misalnya, diperintahkan untuk terus dilaksanakan apabila kedengaran panggilan azan. Segala kerja yang sedang dilakukan perlu ditinggalkan segera untuk kesemuanya bergerak serenatak ke masjid. Ini betul-betul menepati bayangan akhirat yang diceritakan oleh Allah SWT :
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ إِلَى رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ

Yang bermaksud : Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.(Surah Yasin, ayat 51)

Maha Suci Allah SWT yang telah merakamkan bayangan ini di dalam al-Quran lalu diterjemahkan di dalam ibadat solat. Ia merupakan latihan kepada semua penganut Islam untuk berdepan dengan saat yang namanya ialah akhirat. Diperintahkan bersegera untuk bersolat di masjid sekalipun berdepan dengan kesibukan kerja dan urusan yang penting, sungguh menyamai saat manusia berduyun-duyun ke padang mahsyar menyerahkan diri di hadapan Allah SWT untuk dihisab segala amalan.

Demikian juga dengan ibadah haji, manusia diminta tinggalkan segala apa yang dimiliki bermula dari keluarga, tanah air, harta benda, saudara mara dan sebagainya hanya semata-mata untuk menyahut panggilan Allah SWT di Tanah Haram. Ini ditambah pula dengan perintah supaya memakai pakaian yang berwarna putih benar-benar menepati saat hari kematian iaitu pada saat manusia meninggalkan dunia untuk bertemu Allah SWT. Manusia perlu patuh, dan tidak ada pilihan lain kecuai terus patuh. Di dalam ibadah haji misalnya, tidak boleh dipersoalkan kewajaran ibadah seperti tawaf, sa’ie, wukuf, melontar di jamrah dan sebagainya. Tidak ada penjelasan dan rasional untuk difikirkan oleh manusia kecuali hanyalah semata-mata ia merupakan perintah Allah SWT.

Di dalam ibadah solat, manusia diminta untuk menyucikan diri terlebih dahulu untuk bertemu dengan Allah SWT. Zahir perlu disucikan daripada najis, manakala batin pula disucikan daripada hadas samada besar atau kecil serta syirik dan juga penyakit hati yang lain. Suci ini tidak disyaratkan di dalam ibadah yang lain seperti zakat dan puasa. Manakala di dalam ibadah haji, disyaratkan agar jemaah berangkat dengan harta yang bersih dan hati yang bersih. Diperintahkan bertaubat kepada Allah SWT dan bermaaf-maafan dengan semua pihak agar hati yang pergi mengadap Allah SWT ialah hati yang bersih daripada perasaan yang tidak baik terhadap pihak yang lain. Diperintahkan untuk menziarahi saudara mara sebelum bertolak ke Tanah Haram agar tali persaudaraan tidak putus dan segar dengan doa yang mengiringi pemergian.

Demikianlah perjalanan menuju kematian, jika solat dan haji disyaratkan agar suci terlebih dahulu, maka kematian dan perjalanan ke akhirat lebih-lebih lagi diperintahkan agar bersuci terlebih dahulu. Alangkah mulianya sebuah kematian jika si mati bersih dari dosa dengan Allah SWT serta dosa dengan manusia. Sungguh bertuah si mati jika yang mengiringi dirinya ke tepat persemadian sementara menunggu untuk dibangkitkan kelak di akhirat ialah doa daripada anak-anak yang soleh dan saudara-mara jauh dan dekat. Justeru, solat dan haji ialah latihan untuk menempuhi kematian.

Kerana itulah, di dalam solat dan haji, kita diajar untuk sentiasa bertasbih, bertahmid dan bertakbir memuji Allah SWT. Kesemua bacaan yang diperintahkan ini ialah satu suntikan antibiotik terhadap jiwa kita bagi menangkis gangguan virus yang bernama syaitan.

Saudaraku Kaum Muslimin Yg Berbahagia

Dari sisi yang lain, solat dan haji ialah dua ibadat yang diperintahkan untuk kita mengingati dua nabi yang ulung iaitu Nabi Allah Ibrahim alaihissalam dan Nabi Muhammad SAW. Di dalam duduk tahiyyat ketika solat, kita menyebut nama kedua-dua nabi ini manakala di dalam ibadah haji, kita menjadikan amalan yang dimulakan oleh Nabi Ibrahim dan disahkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai amalan haji atau manasik.

Kenapa kedua-dua nabi ini begitu dominan dalam ibadat solat dan haji? Antaranya ialah kerana sejarah kedua-duanya yang begitu unggul dengan pengorbanan di dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim AS pernah dihalau oleh bapanya dari rumah, dibakar hidup-hidup, diusir keluar dari tanah airnya, berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat untuk menyelamatkan imannya dan pelbagai lagi ujian yang menimpa, kesemuanya dilalui dengan penuh keimanan menjadikan diri baginda layak untuk menjadi ikutan oleh seluruh umat Islam.

Demikian juga Nabi Muhammad SAW yang dipulau oleh kaum Quraisy selama tiga tahun di Syi’ib Ali, tidak dibenarkan masuk ke tanah air tumpah darahnya sendiri sekembalinya dari Thaif sehingga terpaksa meminta pertolongan dari seorang musyrik bernama Mut’am bin Adi dan terpaksa keluar dari Mekah menuju ke Madinah dengan memohon pertolongan dengan Abdullah bin Uraiqit yang merupakan seorang musyrik pada masa itu. Kesemuanya merupakan sekelumit daripada episod hidup yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW.

Jelas sekali, kedua-duanya merupakan contoh yang sangat baik dan praktikal untuk dijadikan ikutan di dalam hidup sebagai seorang mukmin. Alangkah lebih jauh lagi tapak-tapak kaki kita dengan jejak-jejak yang telah ditinggalkan oleh kedua-duanya!

Maasyaral Muslimin Wa Zamratal Mukminin

Latihan untuk akhirat ini tidak wujud di dalam mana-mana ideologi sekular. Sekular hanya mengajar penganutnya untuk menjadi kaya, hebat dan berjaya di dunia sahaja tanpa mempedulikan implikasi di akhirat. Seorang penganut sekular jarang sekali terpancul keluar dari kedua-dua belah bibirnya peringatan tentang syurga, neraka, dosa dan pahala. Sekular menjadikan manusia merasakan dirinya sebagai tuhan, penguasa mutlak terhadap semua perkara yang dimiliki olehnya.Sedangkan Islam memandang manusia hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Apa yang dimiliki oleh manusia sebenarnya tidak dimiliki olehnya secara mutlak, ia merupakan milik Allah SWT.

Sebagaimana seorang penumpang bas atau kapal terbang, tidak akan disebut sebagai pemilik bas atau kapal terbang kerana dia akan turun di stesen yang telah ditetapkan. Selepas meninggalkan stesen, ia tidak disebut-sebut lagi sementara bas dan kapal terbang tadi akan menerima penumpang yang lain. Demikianlah di dunia, selepas kematian, segala apa yang kononnya dimiliki akan berpindah ke tangan orang lain. Bukan setakat harta, bahkan oksigen, penglihatan, pendengaran dan kesemuanya milik Allah SWT. Inilah ajaran Islam.

Sekular tidak pernah mengingatkan manusia tentang akhirat. Tidak seperti Islam yang mengajar penganutnya menyebut berulang-ulang peringatan tentang hari kiamat di dalam solat melalui bacaan surah al-fatihah. Keperluan terhadap kiamat ini merupakan keperluan asasi manusia untuk dibalas segala perbuatan orang-orang yang zalim di dunia serta diganjari kebaikan orang-orang yang melakukan kebaikan. Bolehkah sekular tanpa kepercayaan terhadap hari kiamat memberikan kepuasan kepada manusia? Jawabnya tidak.

Betapa ramai orang-orang yang kaya yang bakhil dan penguasa yang zalim mati dengan kekayaan dan kezalimannya tanpa dibalas terhadap perbuatannya? Begitu juga orang-orang yang melakukan kebaikan dan tidak pernah mendapat penghargaan terhadap kebaikannya sepanjang hidup, bilakah masanya dia akan mendapat ganjaran terhadap kebaikannya jika tidak di akhirat? Maka secara semulajadi, manusia inginkan akhirat agar di sana dapat dilunaskan segala kezaliman dan diganjari segala kebaikan. Inilah yang diajar oleh Islam melalui firman Allah SWT :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Yang bermaksud : Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran, ayat 185)

Alangkah bertuahnya dunia apabila kepercayan terhadap akhirat menjadi akidah dalam diri manusia. Tanpa polis dan undang-undang sekalipun, tidak akan berlaku jenayah kerana manusia yakin perbuatannya akan dinilai oleh Allah SWT. Tetapi tanpa kepercayaan terhadap hari kiamat, beratus ribu polis ditambah dengan hukuman yang berat sekalipun, manusia akan mencari helah dan jalan untuk melakukan jenayah. Dengan kepercayaan terhadap hari akhirat, manusia bukan sahaja gerun untuk mencerobohi harta orang lain, bahkan untuk menguruskan hartanya sendiri pun tidak boleh menurut selera nafsunya semata-mata. Ia perlu berpandu kepada Allah SWT.

Sayangnya, mesej yang sebegini penting jarang sekali kedengaran melalui lidah pemimpin-pemimpin negara. Mesej yang membawa pengertian akidah sebegini kebiasaannya hanya diperdengarkan di masjid-masjid melalui ustaz-ustaz atau tok-tok lebai semata-mata. Alangkah baiknya jika setiap pimpinan negara samada bergelar Presiden, Perdana Menteri atau apa jua gelaran sekalipun mengambil langkah sentiasa mengingatkan rakyat terhadap kehidupan di akhirat. Tentu sekali peringatan sebegini akan diulang-ulang pula oleh pimpinan seterusnya samada menteri, pegawai tinggi kerajaan hinggalah ke peringkat bawah dan berakar umbi di dalam masyarakat. Tidakkah Rasulullah SAW selaku ”PM” di Madinah seringkali menyebut peringatan-peringatan seperti ini?

Jelas sekali bahawa sekular yang dibangga-banggakan ini tidak akan membawa kesejahteraan kepada hidup manusia samada di dunia apatah lagi di akhirat. Inilah matlamat perjuangan gerakan Islam khususnya di Malaysia. Perjuangan gerakan Islam bukanlah hanya untuk memenangi satu dua pilihanraya semata-mata, tetapi lebih jauh dari itu ialah untuk meruntuhkan tembok sekular dan digantikan dengan Islam.

Muslimin/Mat Sekelian

Akhir kata, harapan saya agar ibadah haji yang dilaksanakan oleh jemaah-jemaah haji pada tahun berjaya meningkatkan keyakinan kita terhadap hari akhirat seterusnya menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi saat tersebut. Kepada mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji, hayatilah ibadah korban yang dilakukan di tanah air dengan mengambil semangat Nabi Ibrahim AS untuk menjadi teras panduan di dalam hidup kita.

.بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

KHUTBAH KEDUA

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ . أَمَّا بَعْدُ…….فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ ….

فرمان الله تعالى دالم أية 103-107سورة الصافات :

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاَءُ الْمُبِينُ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Maksudnya : Setelah keduanya berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah) dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah ( untuk disembelih) serta Kami menyerunya :”Wahai nabi Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu”. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebuskan anak itu dengan sembelihan yang besar.

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,
Ketika mengingati pengorbanan hebat nabi Ibrahim yang terpaksa menyembelih anaknya nabi Ismail melalui suatu arahan dalam mimpi benarnya maka umat Islam pada hari ini mesti disuburkan kembali rasa yakin tentang keadilan dan kehebatan sistem Islam dalam menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kira pernah menyaksikan bagaimana Suraqah bin Malik terlalu yakin dengan janji nabi yang belum lagi menjadi pemimpin Daulah Islamiah di Madinah bahawa dia bakal dikalungkan dengan gelang kerajaan Kisra, Parsi ditambah lagi dengan keyakinan para sahabat yang lain sehingga kerajaan Islam yang mulanya hanya dianggap kecil akhirnya berjaya menumbang Empayar Kristian, Rom dan Majusi,Parsi pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab seterusnya menguasai Empayar Hindu, India dan Budha, China.

Begitu juga keyakinan pejuang Islam terhadap janji nabi bahawa sebaik-baik ketua ialah yang berjaya membuka kota Intanbul dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya sehingga Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan kota Istanbul yang begitu kukuh kubunya. Oleh itu bila umat Islam berjaya menyuburkan rasa yakin terhadap janji Allah untuk membebaskan Masjid Aqsa maka kemenangan semakin dekat dan hampir

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Sempena berada pada hari raya korban juga kita mesti meningkatkan tahap pengorbanan dalam memperjuangkan Islam dan membantu saudara seagama. Jika semasa menyambut Aiduil Fitri kita diwajibkan membayar zakat untuk meringankan bebanan saudara seagama begitulah kedatangan Aidil Adha yang digalakkan kita mengerjakan ibadat korban untuk diagihkan daging kepada saudara yang memerlukan di mana ia semua bertujuan melahirkan masyarakat yang penyayang dan mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama yang lain. Penderitaan umat Islam yang sedang dibunuh di Selatan Thailand, Filiphina, Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya menuntut pembelaan sewajarnya daripada kita. Begitu juga mangsa Gunung Berapi dan Tsunami di Indonesia. Tidak lupa kita ucapkan takziah kepada mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan sendiri di samping hulurkanlah bantuan setakat termampu. Ringankanlah bebanan dan penderitaan mereka terutama dalam susana hari raya di mana Allah pasti meringankan bebanan kita di akhirat kelak

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Salam Eidil Adha diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Bagi yang berkemampuan disarankan agar menghidupkan sambutan Eidil Adha ini dengan ibadat korban sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

قَالَ الرَّسُوْلُ : مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّناَ – رواية ابن ماجه

Maksudnya : Sesiapa yang mempunyai kemampuan sedangkan dia tidak melakukan ibadat korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِيْ سَبِيْلِكَ فِيْ كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ , اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانِنَا المُسْلِمِيْنَ فِى عِرَاق وَفِى فَلَسْطِين وَفِى لبنان وَفِى سوريا وَفِى كَشْمِيْر وَفِى الهِنْد وفى أفغانستانِ وَفِى شِيْشَان وَفِى جَنُوْبِ بِلِيِبين وَفِى إيندونيسيا وفى تايلند وَفِى بَلَدِنَا ماليزيا اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِاليَهُوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالنَّصَارَى وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالهُنَوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالأمِيرِكَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالِبرِيطَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَقِيَامَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

PROGRAM SEMPENA AIDILADHA

PROGRAM SEMPENA AIDILADHA DI SURAU AL-IKHLAS


SOLAT SUNAT AIDILADHA
TARIKH: 17 NOVEMBER 2010
MASA: 8;30 PAGI
TEMPAT: SURAU AL-IKHLAS

PENYEMBELIHAN QURBAN
TARIKH: 17 NOVEMBER 2010
MASA: SELEPAS SOLAT SUNAT AIDILADHA
JUMLAH LEMBU: 8 EKOR

CERAMAH SEMPENA AIDILADHA
TARIKH: 17 NOVEMBER 2010
MASA: SELEPAS SOLAT MAGHRIB
PENCERAMAH: USTAZ SHUKRI MAT

KENDURI KESYUKURAN&DOA SELAMAT
TARIKH: 17 NOVEMBER 2010
MASA: SELEPAS SOLAT ISYAK

MUSLIMIN MUSLIMAT DI JEMPUT HADIR

Thursday, November 11, 2010

HUKUM HAKAM QURBAN

Korban

Dari segi bahasa, korban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah subhanahu wata‘ala. Dari sudut syara‘, korban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala.

Pensyari'atan Dan Hikmahnya

Korban telah disyari‘atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang Hari Raya.

Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:

“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (sebagai tanda syukur)”
(Surah Al-Kauthar 108:2)

Hikmah disyari‘atkan korban ialah sebagai tanda bersyukur kepada Allah subhanahu wata‘ala di atas segala nikmatNya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun.

Ia juga bertujuan menjadi kifarah bagi pelakunya, sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berkorban dan juga mereka yang lain.

Korban tidak memadai dengan menghulurkan nilai harganya, berbeza dengan ibadah zakat fitrah yang bermaksud memenuhi keperluan golongan fakir, Imam Ahmad dikatakan menyebut amalan menyembelih korban adalah lebih afdhal daripada bersedekah dengan nilai harganya.

Hukum Melakukan Korban

Hukum melakukan korban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya.

Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:

“Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu”

(Riwayat Tirmizi)

Pembahagian Ibadah Korban

Terdapat dua jenis Korban iaitu korban wajib dan korban sunat.

1.Korban Wajib

2.Korban Nazar.

Contohnya apabila seseorang menyebut, “Kerana Allah wajib ke atasku berqurban seekor kambing atau seekor unta ini” ataupun dengan menyebut, “Aku jadikan kambing ini sebagai korban”

Sama sahaja hukumnya dalam hal sama ada yang menyebutnya itu seorang yang kaya ataupun seorang fakir. Binatang yang dibelikan untuk tujuan korban oleh seorang fakir. Apabila seorang fakir membeli seekor kambing dengan niat untuk dikorbankan, maka ia menjadi wajib. Ini kerana membeli dengan tujuan berkorban oleh seseorang yang tidak wajib melakukannya dikira wajib kerana perbuatan ini dikira sebagai satu nazar.

Korban Sunat

Korban sunat ialah korban yang dilakukan oleh seseorang yang berkemampuan melakukannya sama ada miskin ataupun yang bermusafir, yang tidak berniat nazar atau membeli dengan tujuan korban.

Syarat-Syarat Korban
Syarat korban dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:

1.Syarat Wajib/Sunat Korban.
2.Syarat Sah Korban.
3.Syarat Mereka Yang Dituntut Berkorban.

Syarat Wajib/Sunat Korban

1.Untuk dijadikan ibadah korban wajib ataupun sunat adalah disyaratkan dia mampu melaksanakannya.

2.Orang yang dianggap mampu ialah mereka yang mempunyai harga untuk binatang korban yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang di bawah tanggungannya untuk hari raya dan hari–hari tasyrik kerana inilah tempoh masa bagi melakukan korban tersebut.
3.Kedudukannya sama seperti dalam masalah zakat fitrah, mereka mensyaratkan ia hendaklah merupakan yang lebih daripada keperluan seseorang juga keperluan mereka yang di bawah tanggungannya pada hari raya puasa dan juga malamnya sahaja.

Syarat Sah Korban

1.Hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudharatan terhadap kesihatan. Contohnya cacat yang teruk pada salah satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang atau kurus yang melampau.

2.Hendaklah korban itu dalam masa yang tertentu iaitu selepas sembahyang Hari Raya Haji pada 10 Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari pada akhir Hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah.

3.Hendaklah disembelih oleh orang Islam.

4.Orang yang berkongsi mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana masing–masing menyumbang 1/7 bahagian.

Syarat Mereka Yang Dituntut Berkorban

1.Islam.
2.Merdeka.
3.Aqil Baligh.
4.Bermukim atau Musafir.
5.Berkemampuan.

Waktu Pelaksanaan Ibadah Korban

Waktu bagi menyembelih korban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan siang dan malam sehingga Hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam matahari pada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh Al-Barra’ bin ‘Azib :

“Perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan melakukan penyembelihan korban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah khas (korban) ini sedikit pun.”

Binatang Korban

Perbincangan tentang binatang korban ini meliputi empat perkara :

1.Jenis binatang yang diqurban.
2.Umur binatang korban.
3.Kadar binatang yang disembelih.
4.Sifat–sifat binatang korban.

1.Jenis Binatang Yang Dikorban

Para ulama’ sependapat bahawa ibadah korban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang an‘am, iaitu binatang jinak yang berkaki empat seperti unta, lembu dan kerbau, kambing biri–biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina. Oleh itu, tidak sah berkorban dengan menggunakan binatang yang lain daripada binatang an‘am ini seperti kerbau liar dan kijang.

Firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya:
Kami syari‘atkan ibadah menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”
(Surah Al-Hajj 22:34)

Tidak terdapat sebarang dalil sama ada yang dinaqalkan daripada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam atau sahabat yang menunjukkan mereka berkorban dengan binatang selain daripada binatang-binatang ternakan (an‘am) ini. Oleh kerana korban merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan binatang, maka ia hanya ditentukan kepada binatang an‘am sahaja sama seperti ibadah zakat.

Adapun binatang yang lebih afdhal dikorban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin.

Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam juga telah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dengan mandi junub, kemudian dia pergi (ke Jumaat) maka dia seolah-olah telah berkorban seekor unta. Sesiapa yang pergi pada saat kedua maka dia seolah-olahnya berkorban dengan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada saat ketiga maka dia seolah-olah berkorban dengan seekor kibasy yang bertanduk.”

2.Umur Binatang Korban

Umur binatang yang hendak dikorbankan berbeza-beza mengikut jenis binatang iaitu:

1.Unta disyaratkan telah berumur lima tahun dan masuk ke umur enam tahun.
2.Kambing dan lembu disyaratkan telah berumur dua tahun dan masuk ke umur tiga tahun.
3.Kibasy disyaratkan telah memasuki umur dua tahun.
4.Bagi anak unta, lembu, kambing dan kibasy yang telah berumur dua tahun lebih (yang telah bersalin gigi) harus dijadikan korban.

3.Kadar Binatang Yang Disembelih

Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy hanya mencukupi sebagai korban untuk seorang sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi korban bagi tujuh orang. Ini berdasarkan hadith Jabir:

“Kami berkorban bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.”

Dalam riwayat Muslim pula menyebut :

“Kami keluar bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengorbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”

4.Sifat–Sifat Binatang Korban

Sifat–sifat binatang korban sama ada betina atau jantan yang digariskan oleh syara‘ adalah seperti berikut:

1.Terang penglihatannya iaitu tidak buta.
2.Tidak cacat seperti kudung kaki, putus ekornya, terpotong hidungnya atau sebagainya.
3.Gemuk, tidak harus pada binatang yang terlalu kurus.
4.Ciri-ciri yang afdhal terdapat pada binatang korban itu:
5.Gemuk pada keseluruhan anggotanya.
6.Bertanduk.
7.Putih warna bulunya (pada kibasy).
8.Jantan.

Sifat yang makruh pada binatang korban:
1.Rabit telinganya.
2.Terpotong sedikit bahagian belakang atau depan telinganya.
3.Tidak mempunyai tanduk sejak asalnya.
4.Patah tanduk sebelah atau keduanya atau pecah bahagian tanduknya.
5.Tanggal sebahagian giginya disebabkan tua atau jatuh.
6.Kabur penglihatannya.

Perkara Sunat Ketika Berkorban
1.Sunat menambat binatang yang hendak diqurbankan itu beberapa hari sebelum disembelih.
2.Digantung tanda pada binatang yang hendak dikorbankan.
3.Dibawa dengan baik dan ihsan ketika ke tempat penyembelihan.
4.Disunatkan juga orang yang berkorban menyembelihnya.
5.Sunat dihadapkan ke arah qiblat ketika menyembelih korban.
6.Sunat memilih binatang yang paling gemuk, terelok dan terbesar untuk dijadikan korban.
7.Sunat digunakan alat yang paling tajam dan diperbuat daripada besi.
8.Setelah selesai disembelih maka sunat ditunggu sehingga binatang yang disembelih itu sejuk dan semua anggota tidak bergerak lagi.
9.Sunat bagi mereka yang mahu melakukan korban tidak bercukur dan tidak memotong kukunya/segala bulunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga telah selesai berkorban.
1.Binatang korban sunat dibaringkan di atas rusuk kiri sebelum dilakukan penyembelihan.
2.Sunat ketika sembelihan korban dilakukan adalah seperti berikut:
3.Membaca basmalah.
4.Bersalawat ke atas Nabi Muhammad.
5.Binatang diarahkan ke arah qiblat.
6.Bertakbir sebelum atau selepas membaca basmalah.
7.Berdoa.

10.Orang yang berkorban hendaklah membaca doa seperti berikut :

“Ya Allah, ini adalah nikmat yang datang dariMu dan dengannya aku mohon untuk dapat mendampingiMu.”

11.Sunat wakil yang melakukan sembelihan menyebutkan orang yang mewakilkannya seperti:

“Dengan nama Allah dan Engkau Yang Maha Besar, ini daripadaMu dan untukMu.Terimalah Ya Allah daripada si pulan, si pulan.....”

Perkara Makruh Ketika Berkorban

1.Berlaku kasar kepada binatang yang hendak dikorbankan seperti mengheret atau memukul semasa membawa ke tempat sembelihan atau seumpamanya.

2.Memerah susu atau menggunting bulu atau mengambil sebarang faedah dari binatang yang hendak dijadikan korban.

3.Tidak menghadapkan ke arah qiblat semasa sembelihan dilakukan

4.Bercukur atau memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah hingga penyembelihan korban selesai dijalankan.

5.Binatang yang telah dibeli untuk tujuan korban adalah makruh dijual kerana ia telah ditentukan untuk korban.

Hukum Daging Korban

1.Korban yang wajib iaitu yang dinazarkan ataupun yang ditentukan sama ada dengan menyebut, “Ini adalah korban”, maka orang yang berkorban tidak boleh memakannya. Dia wajib menyedekahkan semuanya sekali.

2.Anak kepada binatang korban yang ditentukan juga, perlu disembelih seperti ibunya, tetapi bezanya ia boleh dimakan kesemuanya oleh tuan yang mengorbankannya kerana disamakan dengan hukum susu, kerana tuannya harus meminum susu binatang korban yang selebih daripada anaknya walaupun perbuatan itu makruh.

3.Bagi korban sunat, maka tuannya sunat memakannya, iaitu yang afdhalnya dia hendaklah memakannya beberapa suap sebagai mengambil berkat.Ini bersesuaian dengan firman Allah subhanahu wata‘ala: Maksudnya:

Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
(Surah Al-Hajj, 22:28)

4.Hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi pula ada menyebut bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memakan sebahagian daripada hati binatang korbannya. Hukum memakan daging korban pula tidak wajib, ini berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala Maksudnya:

Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syi‘ar agama Allah untuk kamu, pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.
(Surah Al-Hajj, 22:36)

Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa ia dijadikan untuk kita. Setiap perkara yang dijadikan untuk manusia, maka dia diberi pilihan sama ada mahu memakannya atau tidak.

1.Orang yang berkorban juga boleh menjamu kepada kalangan yang kaya, tetapi tidak boleh diberi milik kepada mereka. Yang boleh cuma dihantar kepada mereka sebagai hadiah yang mana mereka tidak akan menjualnya atau sebagainya

2.Mengikut pendapat dalam qawl jadid, orang yang berkorban boleh memakan sebahagian daripada korbannya. Mengikut qawl qadim pula harus memakan sebanyak separuh, manakala bakinya hendaklah disedekahkan.

3.Sebahagian ulama’ berpendapat daging korban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3 daging disedekahkan dalam keadaan mentah, 1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan dan 1/3 daging dimakan oleh orang yang berkorban.

4.Pendapat yang asahpula, adalah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging korban walaupun sedikit kepada orang Islam yang fakir walaupun seorang. Walaubagaimanapun, yang lebih afdhal hendaklah disedekahkan kesemuanya kecuali memakannya beberapa suap untuk mengambil keberkatan seperti yang telah dijelaskan.

5.Bagi korban sunat pula, orang yang berqurban boleh sama ada bersedekah dengan kulit binatang tersebut atau menggunakan sendiri, seperti mana dia harus mengambil faedah daripada binatang itu semasa hidupnya. Tetapi bersedekah adalah lebih afdhal. Bagi korban yang wajib pula, kulit binatang itu wajib disedekahkan.

6.Korban juga tidak harus dibawa keluar dari negeri asalnya sebagaimana yang ditetapkan dalam masalah membawa keluar zakat.

Sumber : www.al-azim.com

Wednesday, November 3, 2010

PROGRAM KEM PEMANTAPAN PERIBADI MUSLIM

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Dido’akan semua sahabat sentiasa berada di dalam keberkatan dan keredhaan Allah Subhanallahu Ta’ala.

Merujuk kepada perkara di atas, sukacita dimaklumkan Surau Al Ikhlas akan menganjurkan program berikut :-

Nama Program : Kem Pemantapan Peribadi Muslim

Tarikh : 7 Zulhijjah 1431H/ 14 November 2010M

Lokasi : Surau Al-Ikhlas
Masa: 7.30 pagi hingga 5.30 petang

Penyertaan : Pelajar yang berumur 11 – 15 tahun (terhad kepada 100 orang sahaja)

Yuran Penyertaan : RM10.00 / pelajar

Tarikh Tutup Penyertaan : 30 Zulkaedah 1413H/ 07 November 2010M

BORANG BOLEH DIDAPATI DI SURAU AL-IKHLAS JALAN MELATISARI BDR SG BUAYA

Justeru, ibu bapa yang mempunyai anak dalam lingkungan umur 11 – 15 tahun adalah digalakkan untuk menghantar anak-anak tuan/puan ke program yang penuh bermanfaat ini sebagai persiapan untuk mereka menempuh alam remaja dan dewasa.

Seandainya kita mampu menghantar anak ke pusat tuisyen dengan bayaran puluhan ringgit sebulan dengan harapan anak-anak kita berjaya di dalam peperiksaan, adalah wajib untuk kita menghantar anak-anak kita ke program ini dengan harapan mereka akan menjadi anak yang soleh. Sesungguhnya anak yang berjaya di dalam peperiksaan belum pasti boleh membantu kita di dunia dan akhirat tetapi anak yang soleh akan sentiasa diperlihara Allah dan akan menjadi pembela dengan do’a mereka ketika kita di alam barzakh kelak.

Wallahu a’lam.

Monday, November 1, 2010

MEMOHON SUMBANGAN UNTUK PROGRAM KEM PEMANTAPAN PERIBADI MUSLIM

MEMOHON SUMBANGAN UNTUK PROGRAM KEM PEMANTAPAN PERIBADI MUSLIM 14HB. NOVEMBER 2010 DI SURAU AL- IKHLAS, BANDAR SUNGAI BUAYA RAWANG, SELANGOR