SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Wednesday, April 21, 2010

Isu Undi, PIlihanraya & Wakil Rakyat

Pilihanraya adalah suatu proses meraih sokongan dan keyakinanan rakyat bagi membolehkan seseorang calon dipilih mengetuai sesebuah kawasan-kawasan tertentu atau organisasi-organisasi tertentu, dengannya juga dipilih pimpinan sesebuah negara.

Adakah proses ini terdapat di zaman Nabi s.a.w ? Yang nyata, bentuk yang ada hari ini sememangnya tiada terdapat di waktu pemerintahan Baginda Rasululallah s.a.w.

Namun begitu, ini tidak semestinya menjadikannya sebagai haram, Islam melihat perkara ini kepada maqasid atau maksud sesuatu pelaksanaan itu dibuat.

Ia berbeza dengan hal ehwal ibadat yang tidak perlu dikaji hikmah tersirat bagi sesuatu pergerakan ibadah. Undi dan pilihanraya adalah tergolong dalam bab muamalat ( urusan hubungan manusia dengan manusia ) yang diberikan kelonggaran di dalam Islam yang mana penentuan hukumnya adalah berdasarkan hikmah dan objektif yang ingin dicapai.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitab beliau "Fiqh Awlawiyyat fi Dhaw Al-Quran wa AS-Sunnah" pernah menegaskan kepentingan untuk memahami Maqasid berbanding hanya terikat dan memegang buta kepada nas zohir semata-mata. (rujuk bab Kepentingan Maqasid atas Zohir ).

Pilihanraya

Lalu dalam hal ini, maksud pilihanraya dan undi yang utama adalah proses melantik pimpinan yang diyakini rakyat, dipercayai dan disenangi rakyat untuk diberi tugasan dan amanah pentadbiran kawasan dan negara.

Sikap Islam dalam hal ini adalah jelas membolehkannya kerana ia hanyalah bentuk-bentuk dan alat bagi mencapai Maqasid as-Shariah, iaitu Negara yang mempunyai pemimpin, bukankah mempunyai pemimpin itu satu kewajiban.

Manifesto & Kempen

Rasulullah s.a.w semasa di permulaan dakwah juga melakukan kempen bagi menerangkan kepada rakyat Mekah malah luar Mekah agar meyakini baginda dan seterusnya menganut Islam. Justeru proses kempen adalah diterima dalam Islam selagi mana ia tidak berbohong melaluinya. Di zaman ini, amat perlu bagi rakyat untuk meneliti manifesto dan bukan hanya terpesona dengan rupa wajah calon bertanding serta kandungan percakapannya semasa kempen.

Manifesto sepatutnya menjadi penentu utama samada kita diharuskan untuk mengundi seseorang calon itu atau tidak. Ia ibarat perlembagaan calon dan parti yang bertanding. Mungkin kita menemui manifesto yang menawan hati namun selepas itu track record serta kemampuan peribadi calon perlu diperhatikan pula.

Tidak wajar juga, untuk kita hanya menilai manifesto serta calon berdasarkan penilaian aqal serta material semata. Kerana sesuatu yang baik di sisi aqal dan mata kita kemungkinan sahaja tidak baik di sisi Allah swt, demikian sebaliknya. Bukalah hati dan iman bagi berperanan menentukan pilihan kita yang amat penting ini.

Memang benar, calon yang berkualiti perlu dititik beratkan, namun dalam konteks Malaysia hari ini, kehebatan calon sahaja tidak cukup untuknya berperanan, kerana ia akan terikat dengan manifesto partinya. Kerana itu, manifesto serta dasar parti perlu dilihat selain kemampuan calon.

Perlu diingat bahawa Islam meletakkan pertimbangan utama undian atau kesaksian tidak boleh kerana selain dari Allah swt sebagaimana firman Allah :

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَن كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
Ertinya : ...persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu karena Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. ( At-Talaq : 2)

Selain itu, tidak boleh pula rakyat tidak keluar mengundi sedangkan ia berkemampuan sebagaimana tidak harus saksi-saksi enggan memberikan penyaksian sebagaimana firman Allah terutamanya apabila diminta untuk membantu proses keadilan dan kebaikan.

وَلاَ تَكْتُمُواْ الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
Ertinya : ...dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Amat jelas serta terang lagi nyata, sikap Islam terhadap penyaksian dalam hal hutang dan lain-lain isu yang berkaitan urusan muamalat sesama manusia (yang meliputi undian dan pilihanraya) adalah HARUS malah mungkin sampai ke tahap wajib menyertainya dan keluar mengundi apabila keengganan itu boleh menyebabkan ketewasan calon yang membawa manifesto yang menjurus ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Penentu peribadi bagi calon sudah tentulah agama, pemikiran dan perjuangan seseorang calon itu. Kita tidak mahu bertanggung jawab kelak di akhirat kerana menaikkan calon yang menyukai kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w menyebut :-
Ertinya : "Orang yang menunjukkan (membawakan) ke jalan kebaikan akan mendapat pahala sebagaimana orang yang melakukannya"

Demikian juga hadis :-
Dari Abu Hurairah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk maka baginya dari pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dari pahala orang yang mengikutinya sedikit pun, barangsiapa yang mengajak kepada kejahatan maka keatasnya dosa sama seperti orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan sedikit pun dosa orang yang mengikutinya.

Undi kita termasuk dalam kategori hadis ini, jika kita mengundi calon baik dan dasar baik, hasilnya mereka mampu melakukan yang baik, maka kita turut mendapat keberkatan dan hasil pahalanya. Jika sebaliknya, kita juga menanggung akibatnya di barzakh dan akhirat. Berhati-hatilah saudara dan saudari, jangan sampai kita mendapat DIVIDEN DOSA berterusan akibat tindakan kita sendiri, iaitu undi.

Saksi

Oleh kerana kita yang mengundi dianggap sedang menjadi saksi terhadap calon atau parti calon dan manifesto calon. Justeru sebagai saksi kita tidak boleh mengundi secara sembrono, kita WAJIB menjadi saksi yang adil lagi amanah. Bagaimana caranya?

Jawapnya, kita wajib menilai apa yang terdapat disekeliling kita mengikut neraca Islam pertamanya dan realiti keduanya. Cuba perhatikan samada LIMA (5) asas utama yang perlu dijaga telah dijaga, iaitu Agama, Nyawa, Maruah dan keturunan, Harta. Perhatikannya dari sudut kehendak Allah swt, kerana itulah yang bakal ditanya di alam barzakh dan akhirat kita. Bukan penilaian dari kacata mata yang sama seperti George Bush.

Selepas penilaian, kita ibarat di mahkamah untuk 'testify against' atau 'support'. Saya hanyamemberikan panduan umum, keputusan di tangan anda.

Undi

Kaedah mengundi bagi urusan pilihanraya, adalah diterima oleh Islam memandangkan ia merupakan satu perkara baru dalam hal keduniaan serta tiada nas qat'ie yang melarang.

Selagi lagi diingatkan kaedah yang disebut oleh Imam As-Syatibi ertinya :

"Asal dalam urusan mualamat dan adat adalah merujuk kepada ma'ani (maqasid)". (Rujuk Al-Muwafaqat : 2/302).

Maka urusan hubungan politik seperti pilihanraya ini perlulah dilihat kepada maqasid juga, bukan sekadar berhujjah bahawa ia tiada di zaman Nabi ini.

Boleh dikatakan secara ringkas, bahawa Islam tiada masalah dalam menerima kaedah baru ini apatah lagi ia tergolong dalam perkara KESAKSIAN. Firman Allah :

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ
Mafhum : "Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu"

Undi merupakan satu kesaksian rakyat terhadap pemerintah yang dipilihnya untuk kebaikan diri mereka di dunia dan akhirat.

Walaupun sistem undian wakil rakyat ini boleh diteruskan, namun bagi memastikan ia menepati kehendak Islam ia perlu diletakkan beberapa syarat dan panduan, agar ia bertepatan dengan Islam sepenuhnya.

Ahli Parlimen & konsep ‘Al-Hakimiah Lillah' sewajarnya hanya bertindak seorang pimpinan seumpama gabenor wilayah di zaman khilafah Islam.

Dalam konteks zaman ini, ahli parlimen berkumpul di Dewan Rakyat bagi mewakili rakyat dalam beberapa perkara:

i. Menggubal dan memperbahaskan undang-undang baru.

ii.Mengawasi undang-undang yang digubal.Kedua-dua perkara tersebut adalah termasuk didalam tugas pemerintah di bawah sebuah kerajaan Islam.

Sudah tentu gabenor-gabenor wilayah akan bertindak sebagai ‘ahli al halli wal aqd' iaitu kabinet utama khalifah. Tugasnya juga sama iaitu menggubal undang-undang baru yang tidak ditentukan oleh Allah secara qa'tie dan juga mengawasi undang-undang iaitu amar makruf nahi mungkar.

Cuma titik perbezaan ketara yang WAJIB DIFAHAMI ADALAH, ahli parlimen yang ada hari ini mungkin boleh bertindak menafikan ‘al-Hakimiyah Lillah' iaitu menafikan kuasa perundangan utama dan asas iaitu hak ALLAH. Sistem inilah yang menyebabkan terdapat para ulama semasa yang mengharamkan penyertaan pilihanraya.

Bagaimanapun Al-Qaradhawi berijtihad menyatakan harus menyertainya bahkan wajib jika dengannya boleh mengurangkan mudharat terhadap Islam.. DENGAN SYARAT HANYA MENGAMBILNYA SEBAGAI ALAT, TANPA REDHA DENGAN SISTEM INI, DAN SENTIASA BERUSAHA AGAR DAPAT MENGUASAI SUASANA PARLIMEN AGAR TIDAK MENAFIKAN HAK PERUNDANGAN MILIK ALLAH. [Min Fiqh Ad-dawlah Fil Islam, Al-Qaradawi)

Jangan Menang Undi, Iman Tergadai

Selamat menggunakan seluruh pancaindera kita, terutamanya hati, iman, aqal dan minda dalam menentukan pilihan kita, pilihan kita juga adalah untuk menentukan bentuk Negara di masa akan datang serta untuk anak-anak kita yang tercinta.

Akhirnya, sekali lagi saya mengingatkan, jauhilah rasuah semasa pilihanraya. Kita tidak mahu musim pilihanraya menjadi asbab seseorang itu terhumban di dalam neraka dengan lebih lama. Disebabkan setiap kali pilihanraya rasuah diberi dan diterima, fitnah menjadi mainan, bomoh dirujuk bagi mendapatkan ‘kuasa luar biasa'.

Hasilnya setiap kali pilihanraya berapa ramai yang jatuh syirik, menempah bilik neraka lebih lama dan menjauhkan diri dari Syurga. janganlah jual iman dan nilai diri hanya dengan beberapa ratus ringgit. Fikirkanlah....

Sekian
www.zaharuddin.net

Tuesday, April 20, 2010

Dugaan uji tahap keimanan manusia

BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia?

Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu – sakit di hati yang susah mengubatinya.

Pakar motivasi menyatakan: “Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda.” Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabda Baginda bermaksud: “Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, itu juga kebaikan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Semuanya baik, baik dan baik. Apa-apa yang Allah pilihkan untuk kita adalah baik. Apabila sakit ubatnya adalah senyum dan reda.

Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud apabila ditanya: “Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?” Beliau menjawab: “Bukankah Allah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?”

Orang banyak mengatakan: “Bahagia itu adalah kepuasan hati.” Tetapi, pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana dia berada di dunia, pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kaya, cantik, sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah terpenuhi dengan sempurna.

Selamilah dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda. Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka.

Sesungguhnya apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah lebih mengetahui apa yang ’sesuai’ untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci daripada cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tetapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras, hanya ‘terkejut’ dipuncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah: “Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya.” (Surah Al-Bayyinah, ayat 8.)

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu. Pertama, ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal, tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat paling berharga.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang di antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.

Tetapi, mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari-hari ketika sihat. Kalau rugi semua orang diamuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini.

Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda. Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia. Tetapi, bukan bahagia yang ‘diam’ dalam hati, ia cuma menempel sebentar pada dinding hati kemudian lenyap begitu cepat.

Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya, tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

Wednesday, April 14, 2010

Wajib bendung kemungkaran zina

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

MASYARAKAT kita semakin terdedah kepada nilai-nilai kebebasan. Kebebasan yang melampau atau tanpa kekangan boleh menyebabkan nilai-nilai agama dan adat terhakis sama ada secara drastik atau beransur-ansur. Kebebasan didambakan oleh pemburunya dalam segenap aspek kehidupan.

Dalam persoalan mengenai seks misalnya, ramai mula terpengaruh dengan pandangan bahawa seks adalah persoalan individu semata-mata. Individu adalah bebas dan berhak untuk menentukan aktiviti seksnya.

Kesan daripada pandangan tersebut menyebabkan 'seks bebas' mula menular dan membudaya dalam masyarakat kita hari ini. Budaya keji itu berkembang bersama kebebasan bersosial, pesta-pesta hiburan dan pertemuan-pertemuan sosial yang melibatkan kebebasan pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas.
Di sisi Islam, seks bebas tanpa nikah itu adalah 'zina'. Zina mempunyai impak psikologi sama ada dari sudut agama mahupun moral kepada pelakunya. Jiwa penzina biasanya tertekan dan tidak tenteram kesan daripada perbuatan keji itu. Jika golongan ini tidak bertaubat dan kembali kepada jalan kehidupan yang bermoral maka mereka akan terus terbenam dalam kancah maksiat yang merosakkan hidupnya.

Tanpa menafikan golongan dewasa turut terlibat dalam perbuatan seks bebas, fenomena itu kini lebih menonjol di kalangan remaja kita yang terbabas dalam mencari erti kebebasan hidup. Bukan mereka tidak tahu hukum berzina di sisi agama tetapi kemungkaran yang dilakukan itu adalah berpunca daripada iman yang rapuh. Iman yang rapuh memudahkan proses 'pereputan' jati diri dan akal budi bangsa.

Kesan daripada mengambil secara membuta tuli fahaman kebebasan itu menjadikan masyarakat kita bersifat 'nafsi nafsi' atau istilah modennya individualistik. Justeru, tidak hairanlah lahir kefahaman atau pendapat seperti dosa masing-masing tanggung atau kubur masing-masing jaga. Pandangan itu boleh menyebabkan sesuatu kemungkaran itu dipandang ringan.

Ramai juga yang gagal memahami bahawa budaya pergaulan bebas mempunyai hubungan rapat dengan perbuatan zina. Bagi masyarakat Barat, remajanya diberi kebebasan dalam pergaulan lelaki dan wanita.

Pendidikan seks di Barat hanya mengajar bagaimana mencegah berlaku kehamilan, bukannya mengajar mengenai salahnya perlakuan zina itu. Ini tidak menghairankan kerana agama bukan lagi menjadi roh kehidupan masyarakat Barat walaupun agama Kristian mengharamkan perbuatan zina.

Di antara perkara-perkara yang mendedahkan kita kepada 'mendekati zina' adalah pergaulan bebas , berdua-duaan antara lelaki dan wanita, melihat wanita dengan bernafsu dan gambar atau video pornografi.

Secara fitrahnya, seks adalah satu bentuk anugerah dan nikmat kurniaan Allah kepada manusia. Malah, naluri itu turut diberikan kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Fitrah atau naluri inilah menyebabkan keturunan manusia berkembang biak. Bagi Islam, seks untuk manusia hanya boleh dilakukan secara halal iaitu melalui perkahwinan yang sah.

Justeru, mereka yang terpengaruh dengan budaya seks bebas adalah individu yang sudah rosak fitrahnya dan berada dalam daerah kebinatangan. Jalan keluarnya adalah segera bertaubat dan kembali kepada jalan hidup yang berakhlak dan bermoral sesuai dengan status manusia sebagai makhluk yang dimuliakan Allah SWT.

Secara tabiinya, hubungan seks akan menyebabkan wanita mengandung dan melahirkan anak. Keturunan manusia akan menjadi apabila nasab keturunannya dilahirkan secara sah.

Zina pula akan melahirkan keturunan yang tidak diketahui nasab keturunannya sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah lain seperti keruntuhan keluarga dan masyarakat.

Menurut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 17,303 anak luar nikah di kalangan Melayu-Islam didaftarkan pada tahun 2009, berbanding tahun sebelumnya iaitu 2008 sebanyak 16,541 kes, manakala tahun 2007 seramai 16,100.

Dari perangkaan itu, jelas kepada kita bahawa gejala zina semakin berleluasa di kalangan bangsa kita sendiri yang menganut agama Islam. Malah, masyarakat kini dikejutkan dengan fenomena pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi. Secara logiknya, pembuangan bayi adalah kesan daripada perbuatan zina.

Justeru, kebimbangan perlu ada pada kita tentang masa depan bangsa. Tidak wajar kita berpeluk tubuh menyaksikan segala kemungkaran yang melanda generasi muda hari ini.

Bayangkan bagaimana nanti keadaan generasi yang kita tinggalkan itu seandainya mereka berada dalam keadaan yang rendah akal budi dan jauh dari kehidupan yang mulia dan berakhlak. Kumpulan yang sedar ini seharusnya menjadi penggerak kepada usaha membetulkan keadaan. Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu harus memainkan peranan yang efisien dan efektif dalam hal ini.

Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana anak-anak remaja adalah golongan yang masih berada di bawah tanggungjawab mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa kurangnya perhatian terhadap didikan agama menyebabkan anak-anak mudah terjebak kepada kehidupan tidak bermoral.

Kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama menyebabkan mereka mudah terjebak dengan amalan-amalan maksiat yang merosakkan kehidupan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial dan keruntuhan akhlak adalah sebahagian daripada kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama.

Sebenarnya, bukan sahaja perbuatan zina semakin berkembang dalam masyarakat Islam di negara kita tetapi pelbagai kemungkaran lain seperti meminum arak turut meningkat.U/M

PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan

Tuesday, April 13, 2010

13/4- KULIAH MAGHRIB DI MASJID KG.SG BUAYA

ASSALAMUALAIKUM

CERAMAH AGAMA

PADA: 13 APRIL 2010

HARI: SELASA

MASA: SELEPAS MAGHRIB / 8.00 MLM

TEMPAT: MASJID AR-RAHMAH KG SUNGAI BUAYA 48010 RAWANG HULU SELANGOR

PENCERAMAH: TUAN GURU DATU SERI HAJI ABDUL HADI AWANG

MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Friday, April 9, 2010

Sunnah Dan Kesilapan Di Hari Jumaat

Sabda Nabi SAW:
“Hari terbaik yang memancarkan sinar mataharinya ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam AS, padanya dimasukkan dia ke dalam syurga dan padanya dikeluarkan dia darinya. Dan tidak akan berlaku hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.” (Sahih Muslim: 854 )

Sunnah-Sunnah Di Hari Jumaat

1. Mandi dan berwangi-wangian (lelaki sahaja). Rasulullah SAW bersabda: “Mandi pada hari Jumaat itu wajib bagi setiap orang yang sudah baligh. Hendaklah dia menggosok gigi dan memakai wangian jika mempunyainya.” (Shahih, al-Bukhari:880, Muslim:846)

2. Membanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah selawat keatas ku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku.” (Shahih, Abu Dawud:1047, disahihkan oleh al-Arnaouth)

3. Membanyakkan berdoa terutama diakhir waktu asar. “Pada hari Jumaat terdapat dua belas jam, pada waktu itu tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia akan mengabulkannya. Oleh itu, carilah ia diakhir waktu setelas asar.” (Shahih, Abu Dawud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)

4. Membaca surah al-Kahfi. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Shahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)

5. Berjalan kaki dan bersegera ke masjid. SabdaNabi SAW: “Sesiapa yang memandikan atau mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera dengan berjalan kaki, tidak menaiki kenderaan, dan mendatangi imam lalu mendengar (khutbah) dan tidak bermain-main, maka adalah baginya setiap langkah (bersamaan) amalan puasa dan solat selama setahun.” (Shahih:Sunan Abi Daud: 345, al-Albani mensahihkannya)

Kesilapan-Kesilapan Di Hari Jumaat

1. Datang lewat ke masjid. Sabda Rasulullah SAW: “Pada hari Jumaat para malaikat duduk di pintu-pintu masjid, bersama mereka lembaran-lembaran catatan. Mereka mencatat (orang-orang yang datang shalat), apabila imam telah keluar (untuk memberi khutbah), maka lembaran-lembaran itu ditutup.” (Hasan, Ahmad:21756, dinilai Hasan oleh al-Albani)

2. Membaca al-Quran atau memasang rakaman bacaan al-Quran dengan kuat. Sabda Nabi SAW: “Ketahuilah sesungguhnya kalian semua bermunajat kepada Tuhan. Oleh itu, janganlah sebahagian kalian mengganggu sebahagian yang lainnya, dan janganlah sebahagian mengangkat suara atas yang lainnya dalam membaca al-Quran”, atau baginda berkata “di dalam solat.” (Shahih, Abu Dawud:1332, disahihkah oleh Ibn Abdil Barr dan al-Albani)

3. Tidak memenuhkan saf hadapan. Sabda Nabi SAW: “Jika kalian atau mereka mengetahui apa yang terdapat dihadapan saf paling hadapan, nescaya akan dilakukan undian. [bagi mendapatkan saf hadapan]” (Shahih, Muslim:439)

4. Bermain tasbih, bersiwak dan lain-lain ketika mendengar khutbah. “Barangsiapa memegang batu kerikil [ketika khutbah], maka dia telah berbuat hal yang sia-sia.” (Shahih, Muslim:857)

5. Tidak melakukan solat tahiyatul masjid apabila tiba walaupun ketika imam berkhutbah. Sabda Nabi SAW: ” Jika salah seorang daripada kalian tiba (di masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.” (Shahih, Muslim:875)

6. Masih melakukan urusan keduniaan apabila azan telah berkumandang. Firman Allah: “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9)

7. Bercakap ketika khutbah. Rasulullah SAW bersabda: “Jika engkau berkata kepada teman engkau “Diam” pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka engkau telah membuat sesuatu yang sia-sia.” (Shahih,al-Bukhari:934, Muslim:851)

8. Bersandar ke dinding dan tidak menghadap khatib. Berkata Ibn Mas’ud r.a: “Jika Rasulullah SAW sudah berdiri tegak di atas mimbar, maka kami menghadapkan wajah kami ke arah beliau.” (Hasan, at-Tirmizi:509, dishahihkan oleh al-Albani)

Thursday, April 8, 2010

Jangan Kamu Marah!

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya:” Berwasiatlah kepada ku.” Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah.” Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW:” Jangan kamu marah..” (al-Bukhari)

Huraian
Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.” Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, April 7, 2010

PEMBERITAHUAN


TAZKIRAH MAGHRIB

MASA: SELEPAS SOLAT MAGHRIB

TARIKH: 7 APRIL 2010

HARI: RABU

TEMPAT: MASJID AR-RAHMAH KG SUNGAI BUAYA RAWANG HULU SELANGOR

PENCERAMAH: YB TUAN HJ. YAAKOB BIN SAPARI

(EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR)

SELURUH MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Fatawa: Hukum solat sunat tahiyatul masjid di tempat-tempat ibadat

Soalan :

Adakah hasil sunat sembahyang tahiyyatul masjid apabila dilakukan di tempat-tempat ibadat seperti surau, langgar, balai Islam dan sebagainya. Adakah hasil juga sunat iktikad di tempat tersebut?

Jawapan:

Telah menjadi suatu adat kebiasaan bagi orang ramai di negara kita ini khususnya di Negeri Terengganu memanggil atau menamakan sesuatu tempat ibadat itu "masjid", manakala ada didirikan padanya sembahyang Jumaat dan yang tidak didiri padanya sembahyang Jumaat dipanggil atau dinamakan surau, balaisah, langgar dan sebagainya", pada hakikatnya dari pandangan syarak kedua-dua tempat itu diistilahkan dengan nama "masjid" belaka, cuma yang didirikan padanya sembahyang Jumaat dinamakan "Masjid Jamek", maka dengan itu segala sembahyang sunat tahiyyatul masjid atau iktikaf "berhasil" jika dilakukan di dalam masjid/surau dan sebagainya yang diwakaf atau dikhaskan semata-mata bagi tujuan tempat sembahyang dan syiar Islam, sekalipun tempat itu tidak didirikan padanya sembahyang Jumaat.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Terengganu
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Agama Terangganu

ETIKA DAN ADAB-ADAB MASJID

BERANGKAT KE MASJID

1. Mulai dengan kaki kanan.
2. Berjalan dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Doa Nabi ketika dalam perjalanan menuju Masjid:
"Ya Allah jadikanlah dalam hatiku cahaya dan lidahku cahaya dan jadikanlah pada pendengaranku cahaya dan penglihatanku cahaya dan jadikanlah di belakangku cahaya dan di hadapanku cahaya dan di bawahku cahaya, Ya Allah berikanlah kepadaku cahaya"

ADAB MASUK MASJID

1. Membuka kasut dan masuk dengan mendahulukan kaki kanan. Ketika masuk masjid, Rasululah mengajar kita membaca doa " Ya Allah, bukakanlah untukku pintu RahmatMu "
2. Memberi salam kepada sesiapa yang berada didalam masjid, sekira tiada oarang dalam masjid tersebut maka ucapkanlah: " Selamat keatas kami dan atas hamba Allah yang solih"
3. Mengerjakan solat sunnah Tahiyatul Masjid ( Menghormati Masjid )

ADAB DALAM MASJID

1. Duduk menghadap Qiblat.
2. Memohon doa supaya Allah membuka pintu rahmatNya.
3. Sentiasa menyebut nama Allah.
4. Menghadirkan Allah dalam hati.
5. Menghentikan percakapan tentang hal-hal dunia.
6. Jauhi dari menghina Islam.
7. Bezikir dengan suara perlahan.

ADAB KETIKA MENDENGAR AZAN

1. Berdiam diri.
2. Menjawab seruan Azan.
3. Berdoa setelah selesai Azan.
4. Di tambah dengan doa permohonan kerana doa antara Azan dan Iqamah di maqbulkan.
5. Kerjakan solat sunat Rawatib.

ADAB KELUAR MASJID

1. Mohon ampun dan bimbingan Allah agar selamat selama di luar.
2. Berniat untuk datang kembali.
3. Mendahulukan kaki kiri sambil berdoa: "Aku berlindung dengan nama Allah Yang Maha Agung dengan Zat Yang Maha Mulia dan kekuasaanNya yang qadim dari syaitan yang terkutuk".
4. Memberi salam kepada orang yang masih tinggal di masjid.
--------------------------------------------------------------------------------
Masjid paling mulia di sisi Allah di dalam Islam ialah Masjid Al-Haram di Mekah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Sabda Rasullullah s.a.w :

" Sebaik-baik kamu hendak musafir ialah ke masjidku ini ( Masjid Madinah ), Masjid Al-Haram ( Mekah ) dan masjid Al-Aqsa ( Baitul Maqdis ) "

Tuesday, April 6, 2010

Tujuh Golongan Yang Dinaungi Allah di Akhirat

Tujuh golongan yang Allah meneduhi mereka di bawah teduhanNya, pada hari yang tiada teduhan melainkan teduhanNya :

1) Pemimpin yang adil.

2) Dan seorang remaja yang membesar meningkat umurnya dalam keadaan ia sentiasa beribadat kepada Allah .

3) Dan seorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid-masjid.

4) Dan dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah , mereka bertemu kerana Allah dan berpisah keranaNya.

5) Dan seorang pemuda yang digoda untuk berzina oleh seorang perempuan yang mempunyai pangkat lagi jelita , maka ia berkata “ Aku takut kepada Allah!”

6) Dan seorang yang bersedeqah dalam keadaan menyebunyikannya sehingga tangan kirinya tidak ketahui apa yang disedeqahkan oleh tangan kanan.

7) Dan seorang yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian,lalu menitis air matanya.

(Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

AKHIR ZAMAN

“Kelak akan datang di akhir zaman segolongan manusia, di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigala-serigala buas, tidak sedikit pun di hati mereka rasa belas kasihan.

Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak berhenti dari (melakukan) kekejian. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu. Akan tetapi, apabila kamu menghindari mereka, maka mereka akan mencela kamu. Apabila berbicara dengan mereka, mereka akan membohongi kamu. Dan apabila kamu memberi mereka kepercayaan, mereka akan mengkhianatinya.

Anak kecil mereka jahil, pemuda mereka licik. Sementara yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan tidak melarang pula yang mungkar. Mereka itu sentiasa membangga diri dalam kehinaan. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan.

Orang yang santun di tengah mereka adalah sesat, dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh. Orang beriman di kalangan mereka adalah lemah, sedangkan orang fasiq menjadi mulia. Sunnah di tengah mereka adalah bida’ah, sedangkan bida’ah itu sendiri adalah sunnah. Maka ketika itu mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka. Sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.”

(Hadith Riwayat Thabrani- Kitab Al-Mu’jam Al-Kabir)

Ancaman Kerana Meninggalkan Solat Berjemaah

Hadith 1
Abdullah Bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesiapa mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solah berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya(uzur) daripada menyertai solah berjemaah maka solah yang dikerjakannya itu tidak akan diterima." Para sahabat bertanya,"Apakah uzur itu?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Takut atau sakit." (Hadith Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban)

Hadith 2
Diriwayatkan daripada Muaz bin Anas r.a daripada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda s.a.w telah bersabda,"Sungguh-sungguh zalim,kufur dan nifaq mereka yang mendengar penyeru Allah s.w.t yakni muazzin yang menyeru kepada solah tetapi mereka tidak pergi menyertai solah berjemaah. (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Tabarani)

Hadith 3
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesungguhnya aku benar-benar berhasrat untuk menyuruh anak-anak muda mengumpul kayu api untukku,kemudian aku ingin pergi kepada mereka yang bersolah di rumah tanpa sebarang keuzuran lalu membakar rumah mereka." (Hadith Riwayat Imam Muslim,Abu Daud,Ibnu Majah dan Imam Tirmizi)

Hadith 4
Daripada Abu Darda r.a bahawa beliau berkata aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,"Sekiranya terdapat tiga orang di sebuah kampung atau padang pasir dan mereka tidak mendirikan solah berjemaah maka pasti syaitan akan menguasai mereka.Oleh itu,hendaklah kamu mengambil berat tentang solah berjemaah kerana sesungguhnya kambing yang bersendirian akan dimakan oleh serigala." (Hadith Riwayat Imam Ahmad,Abu Daud dan Nasai)

Hadith 5
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a bahawa beliau telah ditanya mengenai seorang yang berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam tetapi tidak pergi mengerjakan solah berjemaah dan solah Jumaat.Beliau menjawab,"Dia ialah penghuni neraka." (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Selain daripada ini ada banyak lagi amaran kerana meninggalkan solat berjemaah.Bagi orang Islam,sebenarnya tidak perlu kepada satu ancaman pun,perintah Allah s.w.t dan RasulNya adalah yang paling berharga bagi mereka.Bagi mereka yang tidak menghargai perintah-perintah Allah s.w.t dan RasulNya maka ribuan bentuk anacaman pun tidak memberi sebarang kesan kepada mereka.Apabila sampai waktu menerima azab barulah mereka akan menyesal tetapi sudah tidak berguna lagi.

AKAL MEMBEZAKAN INSAN DENGAN HAIWAN

BERSYUKUR atas jati diri kemanusiaan adalah penting. Apabila kita memahami hakikat kemanusiaan yang ada dalam diri, kita tidak mungkin melakukan perbuatan seperti perangai haiwan. Kita berusaha sekuat tenaga supaya bertindak berlandaskan akal dan fikiran.

Apabila kemampuan ini tidak digunakan dengan baik, hilanglah keunggulan yang ada pada diri dan akhirnya kita seperti binatang, bahkan lebih buruk lagi.

Allah menganugerahkan pelbagai kelebihan kepada manusia. Anugerah terbesar dimiliki manusia berbanding makhluk lain adalah akal. Dengan akalnya manusia mampu mengambil pengajaran dan memanfaatkan semua kemudahan yang Allah ciptakan di dunia.

Manusia yang mampu menakluk semua makhluk di dunia ini. Allah memberikan pendengaran, penglihatan dan perasaan. Semua itu adalah modal supaya manusia mampu menduduki darjat yang paling tinggi di sisi Allah.

Keunggulan manusia melebihi jin dan syaitan. Oleh itu, janganlah sekali-kali merendahkan diri kita sehingga menyerupai binatang iaitu makhluk yang bergerak dan bertindak atas rasa dan sifat binatangnya.

Binatang, sehariannya hanya sibuk memenuhi keperluan makan, minum dan syahwat. Tidak ada tujuan lain. Pada sebelah pihak lain, syaitan menggunakan seluruh kesempatan diberikan Allah bagi menyesatkan manusia supaya mereka mempunyai teman di neraka. Seluruh waktu syaitan digunakan bagi melakukan maksiat kepada Allah.

Allah menjelaskan dalam mafhumnya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, ayat 179)

Jagalah imej sebagai manusia. Gunakan kemampuan berfikir. Gunakan akal supaya kita mampu menjadi makhluk paling mulia. Apabila tidak mampu menjaga imej sebagai manusia pasti kemuliaan yang ada pada diri kita jatuh dan berubah menjadi hina.