SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Monday, May 24, 2010

Taati ibu jika mahu syurga

Oleh MUHAMMAD HATIM

Ibu adalah wanita yang dimuliakan oleh Allah sebagaimana yang tercatat dalam kitab suci al-Quran. Berdasarkan sebuah hadis, umat manusia percaya, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu.Bahkan dikatakan darjat ibu tiga kali lipat dibandingkan ayah dalam hal penghormatan anak kepada kedua orang tuanya.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata:

Wahai Rasulullah: “Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah.” “Apakah ibumu masih hidup?” orang itu menjawab: “Ya”. Rasulullah s.a.w bersabda. “Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada.” (Riwayat at-Thabrani)

Apa yang sangat membanggakan manusia bahawa Allah s.w.t telah menceritakan kisah ibu dalam kitab suci al-Quran, dengan cara yang amat menyenangkan sekali. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Maka Kami kembalikannya (Musa) ke pangkuan ibunya supaya menyenangkan hatinya dan tidak berduka.” (al-Qasasb : 13)

Alangkah besarnya rahmat Allah terhadap ibu. Dengan anugerah ini dapatlah ibu hidup lebih bahagia dengan menyusukan anak sendiri dan mengasuhnya sehingga besar dengan perbelanjaan dari istana. Sebab dengan menjadi pengasuh dan menyususkan anak raja (Musa) itu, ibu Musa sekeluarga telah dihormati oleh seluruh penduduk Mesir.

Pengorbanan ibu adalah tidak dapat diukur dan dibandingkan. Ia adalah melebihi daripada segala pengorbanan.Ada satu kisah dan ikhtibar yang boleh dipetik daripada sebuah hadis yang bermaksud:

“Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: seorang yang bernama Juraij (seorang abid dari kalangan bani Israel) sedang mengerjakan ibadat disebuah tempat peribatan. Lalu ibunya datang memanggilnya. Humaid berkata: Abu Rafi’ pernah menerangkan kepadaku mengenai bagaimana Abu Hurairah meniru gaya seorang ibu Juraij ketika memanggil anaknya, sebagaimana beliau mendapatkannya daripada Rasulullah s.a.w, iaitu meletakkan tangannya di bahagian kepala antara dahi dan telinga serta mengangkat kepalanya: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Ketika itu perempuan tersebut mendapati anaknya memulai solat. Dengan keraguan Juraij berkata kepada diri sendiri. Ya Tuhan, ibuku atau solatku. Tetapi Juraij telah memilih untuk meneruskan solatnya. Tidak berapa lama kemudian, perermpuan tersebut pergi untuk yang kedua kalinya. Ia memanggil: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Juraij bertanya lagi kepada diri sendiri: Ya Tuhan, ibuku atau solatku. Tetapi, ia masih lagi memilih untuk meneruskan solatnya. Oleh kerana terlalu kecewa akhirnya peermpuan itu berkata: Ya Tuhan, sesungguhnya Juraij adalah anakku. Aku sudah memanggilnya berulang kali, namun ternyata ia enggan menjawabku. Ya Tuhan, janganlah Engkau matikan ia sebelum mendapat fitnah yang disebabkan oleh perempuan pelacur. Pada suatu hari, seorang pengembala kambing sedang berteduh di tempat peribadatan Juraij yang letaknya jauh terpencil dari orang ramai. Tiba-tiba datang seorang prempuan dari sebuah dusun yang juga sedang berteduh di tempat itu. Kemudian keduanya melakukan perbuatan zina, sehingga melahirkan seorang anak. Ketika ditanya oleh orang ramai: Anak siapakah ini? Perempuan itu menjawab: Anak dari penghuni tempat peribadatan ini. Lalu orang ramai berduyun-duyun datang kepada Juraij. Mereka membawa besi tajam seraya berteriak memanggil Juraij yang sedang solat. Maka sudah tentu Juraij tidak melayani panggilan mereka, akhirnya mereka merobohkan bangunan tempat ibadat itu. Tatkala melihat keadaan itu, Juraij keluar menemui mereka. Mereka berkata kepada Juraij, “Tanyalah anak ini!” Juraij tersenyum, kemudian mengusap kepala anak tersebut dan bertanya “Siapakah bapamu?” Anak itu tiba-tiba menjawab, “Bapaku adalah seorang pengembala kambing.” Setelah mendengar jawapan jujur dari anak tersebut, mereka kelihatan menyesal, lalu berkata: “Kami akan mendirikan tempat peribadatan yang kami robohkan ini dengan emas dan perak,” Juraij berkata. “Tidak perlu, biarkan ia menjadi debu seperti asalnya. Kemudian Juraij meninggalkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Kisah singkat dalam hadis ini menunjukkan betapa ampuhnya doa seorang ibu yang dekat dengan Allah, doanya dapat dikabulkan segera. Allah lebih mendahulukan kepentingan ibu daripada hak-Nya untuk disembah.

Atas dasar hadis-hadis inilah umat Islam menyedari bahawa darjat ibu lebih tinggi dari ayah dalam menperolehi pengabdian anak kepada mereka masing-masing. Tidak diragukan bahawa ibu secara alamiah memiliki peranan yang cukup strategik dalam mendidik anak sejak kecil hinggalah dewasa.

Syariat Sa’ie di antara bukit Safaa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah ialah memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar (bonda Nabi Ismail) dan mengekalkan gerak laku seorang ibu, yang mana penuh sabar dan tabah hati mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya.

Pengorbanan ini adalah bukti yang nyata bahawa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang kepada ibu, telah memberi penghargaan yang abadi dengan disyariatkan peristiwa yang dilakukan oleh ibu ini dalam salah satu rukun Islam yang kelima.

Justeru itu, kita diperentahkan untuk memohonkan rahmat llahi yang tidak bertepi itu kepada kedua ibubapa kita.Adalah wajar kita memohon untuk keduanya agar menperolehi lebih banyak dari yang kita perolehi,menbalas budi mereka melebihi budi mereka kepada kita. Bukankah kita diperentahkan untuk melakukan ihsan terhadap mereka berdua.

Nyata dan jelas sebabnya mengapa Islam memberi penghormatan ini kepada wanita yang dipanggil ibu itu. Tidak lain kerana kedudukannya yang penting dan peranannya dalam setiap kehidupan manusia adalah amat besar. Wanita itulah yang menjadi sumber alam yang pertama bagi permulaan sesuatu kehidupan manusia setelah mereka keluar dari alam zuriat.

Ibn Batutta menyatakan seseorang ibu itu berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana susah payah yang dialaminya sendirian ketika hamil, bersalin dan ketika menyusukannya. Manakala bapa berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana kerjasamanya dengan ibu dalam memberi nafkah dan mendidik anak-anak.

Al-Qurtubi, seorang pakar tafsir menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan perhormatan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya. Rasulullah s.a.w. menyebut perkataan ibu sebanyak tiga kali sedangkan bapa hanya sekali sahaja iaitu pada kali yang terakhir (keempat). Al-Qurtubi menyatakan, jika berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anaknya, maka ibulah yang lebih berhak diutamakan.

Namun begitu, ibu tidak akan dapat menikmati kebaikan, kasih sayang dan penghargaan daripada anaknya, sekiranya dia gagal mendidik dan membimbing anak-anaknya dengan sempurna mengikut lunas-lunas yang dikehendaki oleh syarak. Menghormati ibu, mentaatinya, sedia berkhidmat kepadanya, tidak mengingkari perintahnya kecuali pada perkara yang bertentangan dengan syarak, adalah menjadi sebab seseorang itu dapat masuk ke syurga.