HADIS AKHIR ZAMAN:"PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BERPAKAIAN TETAPI…"
Oleh: Imran Al-Malizi
Daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda (mafhumnya):
Oleh: Imran Al-Malizi
Daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda (mafhumnya):
"Dua sifat daripada ahli Neraka, aku belum lagi melihat keduanya, satu kaum yang bersama-sama mereka cemeti-cemeti seperti ekor-ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya. Dan perempuan-perempuan yang berpakaian (tetapi) bertelanjang, berjalan dengan bergaya (melenggang-lenggok), kepala-kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta (mereka meninggikan gumpalan rambut mereka dengan berhias-hias), mereka tidak akan masuk Jannah (Syurga) dan tidak akan mendapatkan baunya. Dan sesungguhnya baunya (Jannah) itu boleh didapati dari jarak perjalanan demikian dan demikian.. (jauh jaraknya)."
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Hadis ini adalah salah satu daripada mukjizat kenabian Muhammad sallallahu 'alaihi wasalam, kerana sesungguhnya telah pun berlaku perkara-perkara yang dinyatakan oleh Baginda sallallahu 'alaihi wasalam pada akhir zaman ini. Terdapat beberapa pendapat di kalangan ulama mengenai makna "berpakaian (tetapi) bertelanjang."
Pertama: Dikatakan mereka berpakaian daripada nikmat Allah tetapi 'bertelanjang' daripada mensyukurinya (tiada bersyukur).
Kedua: Dikatakan ia membuka sebahagian anggota badannya dan mendedahkan sebahagiannya dalam keadaannya secara zahir atau seumpamanya.
Ketiga: Dikatakan ia memakai pakaian yang nipis (sehingga) menampakkan warna badan (kulit)nya.
Pada zaman ini, kita dapat melihat kebenaran yang dikhabarkan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasalam dalam hadis di atas. Barang kali agak sukar untuk digambarkan keadaan tersebut melainkan setelah zahirnya golongan perempuan yang berpakaian seperti mana yang telah disifatkan oleh Baginda sallallahu 'alaihi wasalam itu.
Perkara yang menyedihkan ialah sebahagian daripada mereka mengaku diri sebagai muslimah, akan tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna. Sama ada mereka berpakaian dengan mendedahkan anggota tubuh atau pun mereka mengenakan pakaian yang sempit dan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh, kedua-duanya adalah bertentangan dengan akhlak Islam di mana seorang perempuan muslimah dituntut supaya menutup aurat dengan sempurna. Jumhur ulama berpendapat kesemua anggota tubuh perempuan adalah aurat dan wajib ditutup kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan.
Sebahagiannya pula merasakan sudah memadai dengan memakai tudung atau menutup kepala, akan tetapi mendedahkan anggota tubuh yang lain seperti leher, dada, lengan, kaki atau berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh.
Kejahilan adalah faktor utama yang menyebabkan kebanyakkan mereka tidak dapat memahami keutamaan dalam memelihara aurat. Sesungguhnya aurat yang zahir daripada anggota-anggota tubuh tersebut adalah lebih-lebih lagi berperanan untuk menarik perhatian lelaki ajnabi dan menaikkan nafsu syahwat berbanding dengan hanya menutup rambut atau kepala. Perbuatan mendedahkan bahagian tubuh ini adalah lebih keji daripada hanya mendedahkan rambut atau kepala. Bagaimana pun ini bukanlah hujah untuk membenarkan golongan wanita mendedahkan rambut atau bahagian kepalanya serta memperlekehkan wanita lain yang bertudung.
Ada pun faktor lain yang menyebabkan berlakunya fenomena ini adalah menularnya budaya barat yang dijadikan ikutan oleh anak-anak gadis Islam khususnya dalam cara berpakaian. Lebih parah lagi, golongan wanita yang telah berusia juga tidak ketinggalan dalam trend keruntuhan akhlak ini. Sebagai umat Islam kita dilarang daripada meniru atau menyerupai sesuatu kaum sama ada musyrikin atau kafirin. Rasulullah s.a.w telah memberi amaran dalam suatu hadis:
Daripada Ibnu Umar ia berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasalam telah bersabda:
"Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia adalah daripada (kalangan) mereka." (Hadis riwayat Imam Abu Daud)
Kepada kaum wanita adalah dinasihatkan supaya kembali menghayati ajaran Islam dalam etika berpakaian dan menjaga akhlak sebagai wanita muslimah. Semoga Allah Ta'ala memelihara kita dan keluarga kita daripada tergolong daripada kalangan ahli Neraka yang telah disifatkan dalam hadis di atas. Kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasalam menyatakan bahawa mereka ini bukan sahaja tidak akan memasuki Syurga Allah, bahkan tidak dapat mencium baunya. Wallaahu'alam.
Rujukan:
Sahih Muslim, Kitab al-Libaas waz-Ziinah.
Sahih Muslim bisyarhi an-Nawawi .
Sunan Abu Daud.