Ikhlaskah kita dalam melaksanakan perintah Allah, umpamanya solat? Adakah kita melaksanakannya sekadar melepaskan rasa tanggungjawab atau kita mengerjakannya kerana rasa cinta dan rindu yang mendalam untuk bertemu dengan Kekasih kita?
Beratkah hati kita untuk menghulurkan derma sekadar RM 1 kepada anak-anak kecil yang datang meminta sedekah daripada kita? Atau kita bersedia dengan penuh kerelaan menghulurkan wang lebih dari apa yang dijangka? Bagaimana pula dengan pertolongan yang kita berikan ? Adakah kita membantu mereka yang memerlukan atas dasar ukhuwah Islamiyyah dan kasih sesama insan, atau kita membantu supaya kita dikenali dan dikenang sebagai orang yang budiman?
Apa perasaan kita tatkala kita diminta ketua untuk melaksanakan sesuatu tugasan? Kecewakah kita andai pekerjaan yang kita lakukan selama ini tidak dihargai orang? Lantaran kecewa, kita memutuskan untuk tidak lagi memberikan yang terbaik.
Buat sekadarnya kerana beranggapan manusia tidak melihat apa yang kita lakukan. Usaha yang dilakukan dirasakan tidak bererti andai tidak mendapat pujian dan pengiktirafan manusia kerana rasa riak tumbuh subur di hati.
Amat sukar untuk menentukan keikhlasan seseorang. Kita boleh sahaja membohongi manusia lain dengan mengatakan bahawa kita ikhlas untuk melakukan sesuatu perkara.
Namun, hakikat sebenarnya. Allah lebih mengetahui sejauh mana keikhlasan kita. Adakah kita melakukan sesuatu kerana mengharapkan keredhaan Allah semata, mahupun kita melakukannya kerana mengharapkan pujian daripada manusia. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa amat sukar untuk mengetahui keihklasan seseorang. Ia umpama seekor semut hitam di atas batu hitam di malam yang kelam. Segalanya menjadi gelap.
Kita boleh sahaja merujuk Surah Al-Insan bermula ayat 8-9 ini untuk lebih memahami definisi ikhlas :
“ Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,(8) Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih(9)
Antara kupasan ringkas berhubung ikhlas dalam ayat di atas adalah, kita akan dianggap ikhlas sekiranya kita memberikan atau menginfaqkan sebahagian daripada makanan mahupun harta yang kita sayangi kepada orang lain. Bukan menjamu makanan yang sudah tidak elok mahupun lebihan yang ingin dibuang.
Begitu juga dengan harta-harta yang lain. Kita tidak memberikan seuatu yang sudah buruk,rosak mahupun tidak berharga lagi. Ini kerana, golongan miskin dan mereka yang memerlukan juga memiliki maruah dan harga diri yang perlu kita raikan. Kita memberi untuk menggembirakan mereka, bukan untuk menghina mereka.
Sekiranya kita ikhlas dalam pemberian mahupun amalan, ini bermakna bahawa kita sesekali tidak mengharapkan balasan atas apa yang telah diberikan.Kita melakukannya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah jua. Kita beramal ibadah bukan untuk menagih syurgaNya semata-mata, tetapi kita lakukan kerana cinta terhadap DIA. Kita menghulurkan bantuan dan pertolongan kerana hati benar-benar ikhlas membantu. Bukan kerana mengharapkan nama, pujian dan sanjungan daripada manusia.
Kita langsung tidak mengharapkan balasan mahupun ucapan terima kasih. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ikhlas belum lagi wujud sekiranya di hati kita masih menunggu dan mengharapkan ucapan terima kasih daripada orang yang dibantu.
Allah hanya menerima amalan yang disertai dengan sifat ikhlas. Derma sebanyak satu sen yang diberikan adalah lebih tinggi nilainya di mata Allah jika dibuat dengan ikhlas, berbanding sumbangan jutaan ringgit yang diberikan untuk mendapatkan perhatian dan pujian manusia. Allah tidak melihat kepada natijah atau hasil daripada apa yang kita kerjakan namun DIA menilai kepada kesungguhan dan usaha yang kita lakukan.
Sesuatu amalan yang tidak disertai sifat ikhlas hanya akan mengundang kemurkaan Allah. Selain itu, sesuatu yang dikerjakan tanpa dihadiri perasaan ikhlas juga tidak akan mendapat ganjaran pahala darinya.
“Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.”
(Surah An-Nisa’ : ayat 38 & 142)
Sebagai motivasi buat diri sendiri dan kepada semua, ada baiknya untuk kita merenung dua hadith Nabi SAW berkaitan anjuran supaya ikhlas ini:
“ Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda seseorang, tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim)
“ Usaha yang paling baik ialah usaha orang yang bekerja dengan ikhlas”. (Riwayat Ahmad)