SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Thursday, August 26, 2010

BERAPA JUMLAH SEBENAR AYAT-AYAT AL-QURAN??

(MUSHAF AL-IMAM DI ZAMAN KHALIFAH UTHMAN R.A)


Baru sebentar tadi (1.25pm @ 8/1/2009), saya berada di gerai yang menjual buku berkaitan dengan dialog antara agama di perkArangan ITD, UIAM, Gombak. Selain daripada menjual buku-buku Harun Yahya dan Dialog di antara agama gerai itu juga menyediakan kuiz tentang al-Quran. Pelajar UIAM yang ingin menyertai kuiz itu dikehendaki mengisi borang kuiz yang mempunyai soalan-soalan berkaitan dengan al-Quran..

Di antara soalan yang dikemukakan ialah berapakah jumlah ayat-ayat al-Quran. Sedang saya membeli buku 10 most common questions asked by christians about Islam karangan Dr. Zakir Naik, tiba-tiba saya dengar perselisihan kecil di antara seorang pelajar dari Afrika dengan pelajar Malaysia yang menjaga gerai itu tentang jumlah sebenar ayat-ayat al-Quran. Pelajar Afrika itu mempertahankan hujahnya bahawa jumlah ayat al-Quran ialah 6666.

Melihat situasi ini, saya menegur pelajar Afrika tersebut dan menyatakan bahawa pendapatnya itu adalah salah dan tidak berasas sama sekali.. Setelah beberapa kali meyakinkannya, beliau masih berkeras mengatakan begitu..Lalu saya katakan kepadanya, brother, please check about the number in the last page of Mushaf Uthmani originated from Saudi.. It mentions everything there. Dia kemudiannya berlalu pergi.

Jikalau saya tanyakan kepada anda, kebiasaannya anda akan menjawab jawapan yang senada dengan pelajar tadi iaitu 6666. Jumlah ini sebenarnya tidak berasas sama sekali dan jika masih dipegang seoalah-olah kita akan menambah sebanyak lebihan 430 ayat lagi. Ini kerana jumlah sebenar menurut ulama Kufah ialah 6236.

Semasa belajar di Darul Quran dahulu, kami para pelajar Tahfiz telah menghabiskan masa selama satu semester untuk mempelajari Ilmu Fawasil yang secara khusus membicarakan tentang jumlah ayat-ayat al-Quran. Topik ini juga boleh diperolehi di dalam buku Ulum al-Quran. Tajuk Fawasil juga menjadi bahan kajian untuk latihan ilmiah tahun akhir saya semasa menuntut di Universiti Malaya dahulu (1997-2000).

Apa yang menyedihkan, ada sesetengah orang masih bermati-matian mempertahankan jumlah 6666 yang sudah sekian lama dipegangnya. Inilah yang boleh dikatakan sebagai khurafat pada al-Quran kerana sesetengah bangsa cukup mempercayai tuah sial pada nombor. Di dalam perbincangan Ilmu Fawasil, para ulama' yang membincangkan jumlah ayat-ayat al-Quran tidak bersepakat tentang berapa jumlah sebenar ayat-ayat al-Quran. Perselisihan ini berlaku kerana al-Quran pada zaman awalnya ditulis dengan teknologi penulisan yang cukup terhad tanpa baris, titik dan nombor ayat.

Pelengkapan kepada titik, baris datang kemudian (yang dikenali sebagai ilmu Dabt al-Quran). Begitu juga tentang jumlah ayat juga datang kemudian (dikenali sebagai Fawasil). Fawasil ini adalah kata banyak (plural) kepada Fasilah iaitu pemisah kerana topik utama ilmu ini ialah tentang bagaimana cara hendak meletakkan pemisah di antara ayat untuk dijadikan nombor ayat.

Ringkasnya, Ilmu Fawasil memainkan peranan tersendiri di dalam mengekalkan keaslian al-Quran sehingga ke hari ini. Oleh itu janganlah lagi kita berpegang kepada fakta yang sesat dan salah seperti pendapat yang masyhur di merata dunia Islam yang menyifatkan al-Quran mempounyai 6666 ayat.

Contoh bagaimana berleluasanya penggunaan fakata 6666 ialah;

1- Pengeluar capal nabi menarik perhatian pembeli muslim di Malaysia dengan mengatakan bahawa pengeluaran capal nabi itu terhad hanya kepada jumlah 6666 buah bersempena dengan jumlah ayat-ayat al-Quran.

2-Pengeluar air musaffa (air rawatan pinggan putih dan za'faran) di dalam segmen tajaan syarikatnya di radio IKIM telah mengatakan bahawa ayat-ayat al-Quran yang berjumlah 6666 sebenarnya mewakili sebanyak 6666 sendi-sendi di badan manusia.

2 Contoh di atas sudah cukup untuk menunjukkan bagaimana fakta salah ini telah disalahguna secara meluas untuk kepentingan peribadi sesetengah pihak. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memperbetukkabn kesilapan ini. Ingat betul-betul jumlahnya ialah 6236 bukan 6666...Sudah lama kita memeluk Islam, iaitu semenjak zaman Parameswara lagi, namun kita masih buta dengan al-Quran..Oleh itu, marilah kita sama-sama mendalami al-Quran di dalam segenap aspeknya seperti Tajwid, Tafsir, Ulum dan sebagainya.

Mari kita merebut janji nabi; Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya (Sahih al-Bukhari)

ANTI KHURAFAT PADA AL-QURAN

JUMLAH 6666, SELEPAS INI TANAM SAHAJALAH!

http://abdullahbukhari.blogspot.com/2009/01/berapa-jumlah-sebenar-ayat-ayat-al.html