SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Saturday, August 29, 2009

Harta Haram Amal Karam


“Barangsiapa yang menafkahkan harta haram untuk ketaatan (kebajikan), dia seolah-olahnya telah membasuh pakaiannya dengan menggunakan air kencing.” (Al-Kabair – Imam Shamsuddin az-Zahabi hal. 120)


Seringkali ketika beribadah, kita tidak merasai kelazatannya. Sembahyang yang kita lakukan kehilangan rohnya yang bernama khusyuk. Begitu juga dengan zikir dan tilawatul Quran, tidak ada sebarang keenakan ketika melaksakanan kesemua ibadah ini. Kemalasan dan kealpaan sering menguasai diri. Keresahan dan kegelisahan pula sering melanda hati. Akhirnya kitapun bertanya: mengapa kesemua ini terjadi? Apakah punca kepada segala ini?

Rupa-rupanya selama ini kita tertipu dengan amalan yang dilakukan. Kita sebenarnya persis seorang yang membersihkan pakaiannya setiap hari, tetapi yang anehnya, pakaiannya tidak pernah bersih. Tanpa disedarinya, selama ini dia telah membersihkan pakaiannya dengan menggunakan air yang bernajis.

Begitulah juga dengan hidup kita. Jika harta-benda dan rezeki kita datangnya dari sumber yang haram, pengaruh dan kesannya kepada hati, diri, ibadah dan hidup adalah amat negatif sekali. Dosa seseorang tidak akan dapat dipadamkan dengan amalan keji yang terbabas daripada syariat. Dosa hanya akan terpadam dengan amalan solih dan berderma dengan harta yang haram tidak termasuk di dalam amalan yang solih itu.

Rezeki yang haram menghalang penerimaan doa. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah telah menceritakan tentang seorang lelaki yang bermusafir yang pada suatu ketika telah berdoa kepada Allah, tetapi doanya ditolak. Baginda menjelaskan tentang sebab-musabab kepada penolakan doa itu:

“Makanannya adalah haram, minumannya adalah haram, pakaiannya adalah haram dan dia disuapkan dengan sesuatu yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” Rezeki yang haram juga merosakkan amal.

Nabi telah bersabda: “Tidaklah seseorang itu memiliki harta yang haram, kemudiaan dinafkahkannya untuk memperolehi keberkatan, atau disedekahkannya ataupun ditinggalkannya untuk keluarganya, melainkan kesemua itu adalah bekalan untuknya ke neraka. Allah tidak memadam dosa dengan yang haram tetapi memadamnya dengan jalan halal yang baik.” (Riwayat Imam Baihaqi. Diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad dari Abdullah ibn Mas’ud dan di hasankan oleh sesetengah ulama.)

Justeru itu, aspek halal dan haram di dalam pencarian rezeki perlu dijadikan sebagai suatu agenda yang penting demi untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Selidikilah semula tentang sumber rezeki kita. Kajilah semula tentang bentuk muamalah kita untuk memperolehi keuntungan.

Adakah kita masih terjebak dengan riba? Masih ghairah berjudi? Masih mendapat keuntungan dengan jalan menipu dan khianat? Rasuah masih diamalkan? Memakan harta anak-anak yatim? Menggunakan harta syarikat dan organisasi untuk kepentingan diri sendiri? Menggunakan wang rakyat untuk kepentingan suku sakat? Mencuri? Semuanya adalah potongan-potongan api neraka yang akan membakar tuannya. Salah satu contoh yang disebutkan di dalam Al-Quran ialah tentang kekayaan Qarun.

"Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka dia (Qarun) telah menganiayai mereka, dam Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya teramat berat terpaksa dipikul oleh sejumlah orang yang gagah perkasa." (Al-Qasas 28:76)

Harta yang banyak telah menyebabkan Qarun alpa. Beliau mula bongkak dan sombong dan terus tenggelam di dalam kesesatan dan kezaliman. Harta yang haram serta kesenangan yang menyesatkan tidak akan diberkati oleh Allah. Lantas Qarunpun dihukum.

"Maka Kami telah menenggelamkan Qarun ke dalam bumi bersama-sama dengan rumahnya." (Al-Qasas 28:81)

Hilanglah kemegahan, hilanglah kebesaran dan hilanglah kekayaan dalam sekelip mata. Yang tinggal hanyalah sebuah kisah untuk diiktibarkan oleh semua.