SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Wednesday, June 22, 2011

SEMINAR KECEMERLANGAN REMAJA MUSLIM - 26 JUN 2011



PENCERAMAH I :
DR AHMAD TARMIZI B ABDUL RAZAK
 (ASTRO OASIS)

PENCERAMAH II:
USTAZ AMALUDDIN B NAPIAH
(PENDAKWAH BEBAS)

PENCERAMAH III:
USTAZ DR. AZHAR B YAAKOB
 (PENDAKWAH BEBAS)

PENCERAMAH IV:
USTAZAH NORHAFIZAH MUSA
(PENGACARA PROGRAM TANYALAH USTAZAH TV9)

JOM BERAMAL

Wednesday, June 8, 2011

HUKUM LELAKI BERAMBUT PANJANG & MEMAKAI TOPI KETIKA SOLAT

Soalan; Assalamualaikum ustaz....Saya mempunyai sedikit kemusykilan tentang pemakaian ketika solat..Terutama pada bahagian atas kepala.saya seorang yang gemar berambut panjang namun ada segelintir yang mengatakan jika rambut panjang maka ia akan jatuh kepada haram.adakah perkara ini benar?Dan satu lagi ustaz,tentang pemakaian topi ketika solat.saya sering memakai topi salji@snowcap yg kelihatan seperti anak tudung bagi wanita.Persoalannya adakah salah jika saya mengenakannya untuk digunakan sebagai pengganti songkok@kopiah memandangkan rambut saya panjang dan khuatir jatuh di bahagian dahi dan menyebabkan solat itu terbatal?Itu sahaja ya Ustaz,harap ustaz sudi menjawab soalan saya ini.

Jawapan;

1. Lelaki ingin menyimpan rambut panjang; tidaklah dilarang agama kerana rambut Nabi -shallallahu 'alaihi wasallam- sendiri adakalanya beliau membiarkan panjang hingga ke bahu. Dalam Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas yang menceritakan; "Rambut Rasulullah mencecah dua bahunnya" (Soheh al-Bukhari, kitab al-Libas, bab al-Ja'di, hadis no. 5452). Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi bersabda; "Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu 'Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Libas, bab Fi Lubsi as-Syuhrah, hadis no. 3512).

2. Memakai kopiah tidaklah menjadi syarat sah solat. Harus mengerjakan solat dengan memakai kopiah atau tanpa memakainya. Begitu juga, memakai selain kopiah (topi dan sebagainya) tidaklah membatalkan solat jika ia bersih. Walau bagaimanapun, pakaian kita ketika solat hendaklah menggambarkan kesopanan kita di hadapan Allah. Jika topi yang saudara pakai itu topi yang elok, bersih, kemas dan nampak bersopan, tidak mengapa saudara memakainya ketika solat. Jika tidak, baiklah saudara menanggalnya ketika solat sekalipun saudara solat tanpa memakai apa-apa di atas kepala. Jika saudara tetap memakainya tidaklah akan membatalkan solat, cuma masalah kesopanan sahaja.

Wallahu a'lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Wednesday, May 25, 2011

Monday, April 25, 2011

Keunikan Ahli Syurga




Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Nabi s.a.w bersabda:

Sesungguhnya penduduk syurga makan dan minum di dalamnya. Tetapi mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak membuang air besar dan tidak membuang hingus. Para sahabat bertanya:Bagaimana makanan yang mereka makan? Jawab baginda:Keluar dari sendawa yang baunya harum seperti bau kasturi . Mereka selalu membaca tasbih dan tahmid sebanyak tarikan nafas mereka.

-HR IMAM MUSLIM-

Wanita Haid Duduk Dalam Masjid

Soalan:
Assalamualaikumwarahmatullah,

Saya nak tanya tentang kalau kita buat program di masjid yang tak ada ruang berasingan untuk ceramah dsb dan terpaksa menggunakan ruang solat untuk buat penyampaian, macam mane dengan wanita yang uzur. Tambah kalau perlu bermalam. Biasanya cuba jugak buat tempat yg kalau masjid ada dewan ke, tapi buat masa ni tmpt yang senang sikit nak dapat permission guna memang tak de ruang berasingan. Adakah perbezaan pendapat tentang hal wanita yg uzur duduk dlm masjid atau memang larangan jelas yang disepakati ulama'?.

Jawapan:
Wa’alaikumus-salam wr.wb

Untuk menjawab soalan puan, saya petik tulisan Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya ‘Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jzk 1, m.s. 168-169:

Tidak harus bagi wanita dalam haid duduk di dalam masjid. Tetapi harus baginya masuk dan melintasinya kerana hajat atau ada keperluan seperti mengambil sesuatu perkara atau masjid merupakan laluan ke rumahnya. Dalil hukum ini ialah:

1. Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aisyah r.a.(maksudnya): “Tulung ambilkan untukku selendang/serban yang berada di dalam masjid.” Aisyah menjawab: “Sekarang saya sedang haid.” Baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu.” Riwayat Muslim, Ibn Majah dan Baihaqiy. Hadis ini menunjukkan telah menjadi kefahaman Aisyah bahawa wanita haid tidak boleh memasuki masjid, lalu baginda menjelaskan bahawa boleh sekadar lalu untuk sesuatu keperluan.

2. Daripada Aisyah juga, Rasul s.a.w. bersabda maksudnya: “Masjid tidak halal bagi wanita haid dan orang berjunub” Riwayat Abu Daud

3. Di dalam riwayat lain, baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak halal bagi wanita haid dan orang berjunub.” Riwayat Ibn Majah.

Mengulas kedua-dua Hadis di atas (no.2 dan 3), asy-Syaukani berkata bahawa kedua-dua Hadis di atas menunjukkan dengan jelas bahawa orang berjunub dan wanita haid tidak boleh duduk di dalam masjid. Ini merupakan pandangan majority ulamak dalam semua mazhab.

Ada segolongan kecil ulamak, antaranya Daud az-Zohiri dan al-Muzni berpendapat wanita haid harus masuk dan duduk di dalam masjid. Dalil mereka ialah mereka mendakwa, Hadis-hadis yang dipegang oleh mereka yang berkata tidak harus wanita haid duduk di dalam masjid itu tidak sahih.

Namun dakwaan mereka bahawa Hadis-hadis itu tidak sahih telah ditolak oleh asy-Syaukani yang menegaskan bahawa Hadis-hadis itu Sahih atau Hasan. Tidak ada sebab untuk diragui kebenarannya. (Nail al-Author, jid 1, m.s.229)

Posted by Maznah Daud

Mentaati Kedua Ibu Bapa

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”- Riwayat al-Hakim

Huraian :

Pengajaran hadis:
i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

Wednesday, March 9, 2011

CERAMAH KECEMERLANGAN IBUBAPA BERSAMA HJ HUSHIM BIN SALLEH

ILMU ITU CAHAYA, JAHIL ITU BAHAYA

Di akhir zaman ini ramai dari kalangan ahli abid tertipu dengan banyaknya ibadah yang dilakukan. Berlakunya ini semua kerana si ahli abid merasakan setiap ibadah yang dikerjakan tanpa menyandarkan perbuatan dan amalannya itu dengan izin dan rahmat Allah jua. Tanpa keizinan Allah, tanpa rahmat dan kasih sayang Allah serta tanpa kudrat dan Iradah dari Allah swt, kita semua lemah tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau tidak Allah izinkan, hendak gerakkan lidah untuk bertutur bicara pun kita tidak akan mampu apatah lagi untuk duduk bangun, rukuk, sujud menyembah Allah swt.

Maka patutkah kita berbangga dan sombong dan berasa hebat kiranya kita berjaya dan berkebolehan dalam melaksanakan sesuatu amalan? Kalau kita mampu bangun malam beribadah dan banyak sembahyang sunat hingga kita menjadi abid, siapakah yang hebat? Kita hebatkah atau Allah yang hebat? Tentulah Allah yang hebat kerana Allah telah memberikan kita kemampuan untuk beribadah, kalau kita bersembahyang, berpuasa, menutup aurat, mampu menulis artikel dan sebagainya, apakah itu semua keupayaan kita? Tidak itu semua dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Tanpa rahmat dan kasih sayang Allah tentu kita engkar dan sesat seperti orang lain juga.

Ingatlah, pembaca budiman kiranya kita angkuh, riak, ujub dan takabur dengan apa yang ada pada kita, tidak mustahil suatu hari Allah akan tarik balik nikmat-Nya yang dikurniakan kepada kita. Katalah ketika ini kita tergolong ke dalam golongan orang yang berharta, kaya raya, harta melimpah ruah kita pun tidak sedar diri. Kononnya kitalah manusia yang paling mewah dan kaya raya di dunia ini. Hasil dari sifat takabur dan angkuh itu sudah tentu kita menjadi seorang yang kedekut, bakhil, tamak dengan harta, mahu keluarkan sepuluh sen pun untuk membantu anak-anak yatim dan fakir miskin fikir seribu kali.

Harta itu hanya pinjaman Allah, sekelip mata Allah boleh papa kedanakan si kaya yang sombong. Andaikata seseorang itu dikurniakan ilmu kepadanya sehingga dengan ilmunya itu jadilah dia orang terkenal, di sanjung di puja maka mulalah penyakit hati menyerang jantung kalbunya jadilah dia seorang ahli ilmu yang bongkak, rasa diri lebih, lebih bijak dari orang lain, pandangan dan pendapat orang lain semuanya salah, pandangannya sajalah yang tepat dan betul. Golongan ini sungguh tertipu dan rugilah ia kalau ia tidak cepat-cepat bertaubat.

Walaupun kita menjadi seorang alim ulama atau penulis artikel tapi itu semua bukannya membuktikan kehebatan kita, bukan juga kepandaian dan kepintaran kita tetapi itu semua rahmat dan pinjaman dari Allah semata-mata. Itu satu amanah dari Allah, di akhirat kelak Allah akan persoalkan.. ... “Ilmu yang penuh di dalam dadamu wahai hambaku..... ke mana kamu salurkan? Adakah untuk mengajak manusia menyembah Aku atau dengan ilmu itu engkau menyesatkan dirimu juga orang lain?” Alangkah malangnya ketika itu kiranya jawapan demikian kita persembahkan kepada Allah swt (kerana di akhirat nanti tidak boleh lagi kita berbohong dan berselindung apa-apa dari Allah): “Tuhanku, aku gunakan ilmu yang Engkau kurniakan untukku dahulu ke jalan kemurkaan-Mu, dengan ilmu itu kuambil peluang untuk mencari publisiti, cari nama dan kemasyhuran, cari kemewahan, memandang rendah dan hina pada si jahil yang sepatutnya aku yang bertanggungjawab membasmi kejahilan di dada hamba-hamba- Mu, semakin aku lupa pada-Mu, semakin aku ego, sombong dan rasa diriku tuan, malah bila orang lain sesekali buat kesalahan, aku hukum mereka, seolah-olah aku Tuhan.....”

Maka menangislah golongan ahli ilmu yang tertipu dengan ilmunya itu. Menurut Matan Zubat: “Ahli ilmu yang fasik akan dibenci Allah dan akan dihumbankan ke dalam lubuk neraka lebih dahulu daripada orang kafir penyembah berhala.” Wal ‘iyazubillah. Alangkah beruntungnya ketika Allah minta pengakuan dari hambanya di Yaumil Mahsyar kelak kita dapat menjawab sekurang-kurangnya begini: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya dengan ilmu yang Engkau kurniakan padaku, kugunakan sebaik-baik penggunaan. Aku mengajak manusia yang jahil ke arah kebenaran, aku menyeru umat manusia agar menyembah-Mu, sujud syukur pada-Mu, aku mengajak manusia beriman pada-Mu, pada Rasul-Mu dan pada hari kemudian, pada syurga dan neraka-Mu, kuajak lagi manusia agar berfikir tentang keagungan dan kehebatan-Mu menjadikan alam yang luas terbentang ini.....” Begitulah jawapan orang yang alim yang terpimpin lagi di kasihi Allah. Semakin berilmu semakin ia rendah diri, semakin ia merasakan dirinya lebih banyak dosa kalau hendak dibandingkan dengan orang lain, seringkali merasakan dirinya tiada apa-apa hanya yang ada seribu kelemahan dan kekurangan. Inilah resmi padi, makin berisi, semakin tunduk ke bawah. Selamatlah golongan ini. Ilmu yang beginilah yang dikatakan membawa cahaya kepada mereka yang berilmu. Ilmu merupakan cahaya yang menerangi hidup seseorang insan yang sedang teraba-raba dalam kegelapan.

Ilmu yang mengajak manusia mengenal dan mentauhidkan Allah. Bukannya ilmu yang semakin didalami semakin ia lupa pada Allah, semakin tinggi ilmunya semakin ia kufur dengan Allah. Tanda ilmu itu tidak berkat, semakin kita menuntut ilmu semakin angkuh dan sombong, samada dengan Allah mahupun sesama manusia. Semakin berilmu semakin rasa diri hebat, tidak langsung merasa hebatnya dan Maha Kuasanya Allah. Semakin menuntut ilmu, penyakit hati semakin tebal bersarang dalam dada seperti sombong, ego, riak, ujub, takabur, merasa diri mulia, memandang rendah pada orang lain dan sebagainya. Andai kata kita tidak sempat bertaubat sedangkan dalam diri kita penuh dengan penyakit-penyakit hati itu, ingatlah tempat yang selayaknya adalah lubuk neraka yang terbawah sekali. Lebih berat lagi para alim ulama yang tidak beramal dengan ilmunya dan tidak menyampaikan ilmu yang ada dalam dadanya pasti akan mendapat laknat Allah. Mereka masuk neraka lebih dulu dari penyembah berhala. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita semua menjadi ahli ilmu yang bakal menerangi alam fana ini dengan cahaya ilmu yang kita pelajari.

Sematkan dalam dada dan hati: “Aku akan membasmi kejahilan kerana kejahilan itu bahaya dan bisa menjerumuskan diriku ke neraka dan bisa menghancurkan perpaduan umat Islam di dunia ini.”