SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Monday, April 25, 2011

Keunikan Ahli Syurga




Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Nabi s.a.w bersabda:

Sesungguhnya penduduk syurga makan dan minum di dalamnya. Tetapi mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak membuang air besar dan tidak membuang hingus. Para sahabat bertanya:Bagaimana makanan yang mereka makan? Jawab baginda:Keluar dari sendawa yang baunya harum seperti bau kasturi . Mereka selalu membaca tasbih dan tahmid sebanyak tarikan nafas mereka.

-HR IMAM MUSLIM-

Wanita Haid Duduk Dalam Masjid

Soalan:
Assalamualaikumwarahmatullah,

Saya nak tanya tentang kalau kita buat program di masjid yang tak ada ruang berasingan untuk ceramah dsb dan terpaksa menggunakan ruang solat untuk buat penyampaian, macam mane dengan wanita yang uzur. Tambah kalau perlu bermalam. Biasanya cuba jugak buat tempat yg kalau masjid ada dewan ke, tapi buat masa ni tmpt yang senang sikit nak dapat permission guna memang tak de ruang berasingan. Adakah perbezaan pendapat tentang hal wanita yg uzur duduk dlm masjid atau memang larangan jelas yang disepakati ulama'?.

Jawapan:
Wa’alaikumus-salam wr.wb

Untuk menjawab soalan puan, saya petik tulisan Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya ‘Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jzk 1, m.s. 168-169:

Tidak harus bagi wanita dalam haid duduk di dalam masjid. Tetapi harus baginya masuk dan melintasinya kerana hajat atau ada keperluan seperti mengambil sesuatu perkara atau masjid merupakan laluan ke rumahnya. Dalil hukum ini ialah:

1. Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aisyah r.a.(maksudnya): “Tulung ambilkan untukku selendang/serban yang berada di dalam masjid.” Aisyah menjawab: “Sekarang saya sedang haid.” Baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu.” Riwayat Muslim, Ibn Majah dan Baihaqiy. Hadis ini menunjukkan telah menjadi kefahaman Aisyah bahawa wanita haid tidak boleh memasuki masjid, lalu baginda menjelaskan bahawa boleh sekadar lalu untuk sesuatu keperluan.

2. Daripada Aisyah juga, Rasul s.a.w. bersabda maksudnya: “Masjid tidak halal bagi wanita haid dan orang berjunub” Riwayat Abu Daud

3. Di dalam riwayat lain, baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak halal bagi wanita haid dan orang berjunub.” Riwayat Ibn Majah.

Mengulas kedua-dua Hadis di atas (no.2 dan 3), asy-Syaukani berkata bahawa kedua-dua Hadis di atas menunjukkan dengan jelas bahawa orang berjunub dan wanita haid tidak boleh duduk di dalam masjid. Ini merupakan pandangan majority ulamak dalam semua mazhab.

Ada segolongan kecil ulamak, antaranya Daud az-Zohiri dan al-Muzni berpendapat wanita haid harus masuk dan duduk di dalam masjid. Dalil mereka ialah mereka mendakwa, Hadis-hadis yang dipegang oleh mereka yang berkata tidak harus wanita haid duduk di dalam masjid itu tidak sahih.

Namun dakwaan mereka bahawa Hadis-hadis itu tidak sahih telah ditolak oleh asy-Syaukani yang menegaskan bahawa Hadis-hadis itu Sahih atau Hasan. Tidak ada sebab untuk diragui kebenarannya. (Nail al-Author, jid 1, m.s.229)

Posted by Maznah Daud

Mentaati Kedua Ibu Bapa

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”- Riwayat al-Hakim

Huraian :

Pengajaran hadis:
i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.