SUMBANGAN / AMAL JARIAH

SUMBANGAN / AMAL JARIAH
jazakallahu khairan kathira

Friday, February 25, 2011

Pemergiannya satu istirehat

Hadith: 
 
Abu Qatadah Ibnu Rib'i al-Ansari r.a menerangkan bahawasanya satu jenazah telah dibawa berlalu di hadapan Rasulullah SAW maka berkatalah baginda :Orang yang beristirahat atau orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, siapakah orang yang pergi beristirahat dan siapakah orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya? Nabi menjawab : Hamba yang mukmin pergi beristirahat daripada kepayahan dunia dan gangguannya kepada rahmat Allah. Dan hamba yang fasiq, beristirahat daripadanya segala hamba Allah, negeri, pohon dan binatang.
 
Huraian Hadith: 
 
Sesungguhnya orang yang meninggal dunia itu terdiri dari dua golongan iaitu golongan orang yang beriman meninggal dunia menuju ke suatu tempat yang aman yang membahagiakan. Mereka sudah terlepas daripada kepayahan dan ujian dunia menuju kepada rahmat Allah SWT. Sedangkan orang yang buruk akhlaknya, kematiannya itu merupakan satu kerehatan untuk penghuni dunia daripada terus berhadapan dengan kejahatan dan kemungkaran yang dilakukannya. Kematiannya dituruti dengan kesengsaraan dan balasan azab daripada Allah SWT.
 

Thursday, February 17, 2011

PROGRAM MAULIDURRASUL AL-IKHLAS 12 RABIULAWAL 1432H

PETUGAS PROGRAM BERGAMBAR BERSAMA PENCERAMAH (USTAZ DR KHALIL IDHAM LIM ABDULLAH)



Tuesday, February 8, 2011

Tazkirah - Memuliakan Tetamu


AL-BUKHARI dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata: "Pernah datang seorang lelaki kepada Nabi, lalu berkata: Sesungguhnya aku sangat lapar. Baginda pun menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada salah seorang isteri Baginda, namun isteri Baginda berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air. Baginda pula lalu menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada isteri Baginda yang lain, namun isteri Baginda ini juga mengatakan hal yang sama, sehingga semua isteri Baginda juga mengatakan hal yang sama, iaitu: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air.

Nabi lalu berkata kepada sahabat: Adakah daripada kamu yang mahu menjamu orang ini malam ini? Seorang daripada kalangan Ansar berkata: Saya, wahai Rasulullah. Seterusnya, orang itu pun membawa orang tadi ke rumahnya. Sesampai di rumah, dia berkata kepada isterinya: Muliakanlah tetamu Rasulullah ini.

Dalam riwayat lainnya disebutkan bahawa dia berkata kepada isterinya: Adakah engkau mempunyai makanan? Isterinya menjawab: Tidak, kecuali hanya sebatas yang cukup untuk makan anak-anak kita.

Dia berkata: Lakukanlah sesuatu yang boleh membuat mereka lupa makan. Jika mereka teringat minta makan, maka dodoikanlah mereka. Seterusnya, jika tetamu kita sudah siap untuk bersantap apa yang kita hidangkan, padamkanlah lampunya dan tunjukkanlah tanda bahawa kita seakan-akan juga ikut makan.

Akhirnya, mereka duduk bersama di ruang makan dan tetamu itu pun menyantap makanan, sementara tuan rumah melalui malam harinya dengan perut kosong. Pagi harinya, orang Ansar tadi melaporkan apa yang diperbuatnya semalam kepada Nabi dan Baginda berkata: Sesungguhnya Allah merasa gembira terhadap apa yang kamu lakukan terhadap tetamu kamu malam tadi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sumber: Buku Ringkasan Riyadhus Solihin

sumber : http://www.srikasih.co.cc/search/label/Renungan?max-results=999

Monday, February 7, 2011

Qunut dan Solat Sunat Rawatib

Assalamualaikum ustaz,

Saya ada beberapa soalan berhubung hal ibadah:

1. Apakah hukum membaca doa qunut ketika solat subuh? Sejak di bangku sekolah kita telah didedahkan untuk membaca doa qunut. Bolehkah kita meninggalkan doa qunut tersebut. Jika kita tinggalkan, perlukah kita ganti dengan sujud sahwi?

2. Saya agak keliru dengan solat sunat rawatib. Bolehkah ustaz jelaskan ada berapa kali solat sunat rawatib yang boleh kita kerjakan? Ada bermacam pendapat mengenai ini. Dan, adakah wujud solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat Jumaat? Memandangkan solat jumaat berbeza dengan solat subuh.

Mohon penjelasan sejelasnya, in sha’ Allah.
Wallahu’alam.

Jawapan:
Permasalahan yang anda tanya termasuk dalam perkara yang diperselisihkan oleh para ulama.  Sudah tentu jawaban yang diberi akan wujud perbezaan kerana ia adalah masalah yang telah lama berlaku perselisihan pandangan dikalangan ulama.

1) Hukum membaca doa qunut ketika solat subuh adalah sunat pada mazhab Shafi’e.  Para ulama mazhab Shafi’e telah membawa hujah bagi menyokong pandangan mereka. Jika anda meninggalkan bacaan qunut atau terlupa, anda perlulah melakukan sujud sahwi dan jika terlupa sujud sahwi solat anda tetap sah.

2) Rawatib dalam Bahasa Arab bermaksud kerap dan berterusan. Ini bererti solat rawatib adalah solat sunat yang dilakukan oleh baginda saw secara konsisten. Sabda nabi saw:

من ثابر على ثنتي عشرة ركعة من السنَّة بنى الله له بيتا في
الجنة أربع ركعات قبل الظهر وركعتين بعدها وركعتين بعد المغرب وركعتين بعد العشاء وركعتين قبل الفجر.
Maksudnya: “ sesiapa yang menjaga 12 rakaat sunat, Allah swt menyediakan baginya rumah di dalam syurga iaitu  sebelum zohor 4 rakaat, selepas zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas insyak 2 rakaat dan sebelum subuh 2 rakaat.”
(Al-Tirmizi : 379)

Terdapat juga dalam riwayat yang lain menyatakan 10 rakaat sunat sahaja iaitu 2 rakaat sebelum zohor. Kesimpulannya, solat sunat rawatib adalah solat sunat yang mengiringi solat fardhu samada sebelum atau selepas solat yang dilakukan secara konsisten oleh baginda saw iaitu sebelum zohor 2 atau 4 rakaat, selepas zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas insyak 2 rakaat dan sebelum subuh 2 rakaat. Jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 10 atau 12 rakaat. Terdapat juga dalam kalangan ulama yang menamakannya sebagai sunat muakkad (diberi penekanan). Manakala solat-solat sunat yang mengiringi solat fardhu tetapi tidak termasuk dalam kategori tersebut dinamakan sebagai ghair muakkad (tidak diberi penekanan) atau sunat yang tidak dilakukan secara konsisten oleh baginda saw seperti sunat sebelum Maghrib, sebelum Isyak dan sebelum Asar. Ini bukan beerti sunat-sunat tersebut tidak harus  dilakukan. Secara umumnya solat sunat tersebut masih termasuk dalam gesaan nabi saw yang bermaksud: “sembahyanglah di antara dua azan” yakni di antara azan dan iqamah.

Nawafil bermaksud melakukan sesuatu melebihi fardhu. Apabila dikaitkan dengan solat nawafil maka ia merujuk kepada solat-solat sunat yang tidak dikaitkan mengiringi solat fardhu seperti solat dhuha,  tahajjud, witir, aidil fitri, hajat, istikharah dan sebagainya. Sekalipun terdapat perbezaan antara istilah rawatib dan nawafil namun hakikatnya kedua-dua istilah tersebut merujuk kepada amalan atau solat yang disunatkan iaitu  (ma zida ala al-fardh – tambahan daripada solat fardhu).

Adapun solat sunat sebelum solat Jumaat juga termasuk dalam permasalahan yang diperselisihkan ulama. Yang melakukannya berpandukan kepada hadis “sembahyanglah di antara dua azan” dan perbuatan sahabat Abdullah bin Mas’ud seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi. Manakala solat sunat selepas solat Jumaat berdasar hadis riwayat Imam Muslim bahawa nabi saw bersabda: “Apabila seseorang kamu mendirikan solat Jumaat maka hendaklah dia mendirikan solat (sunat) selepas itu empat rakaat.

Sekian  والله أعلم

Disediakan oleh:
Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS

Solat tahajud lepas isyak

Assalamualaikum ustaz, andainya selepas solat fardu Maghrib, saya tertidur. Apabila jam 1 pagi, saya terbangun dan saya menunaikan solat Isya' seterusnya menunaikan solat Tahajjud. Apakah tahajjud itu diambil kira?

Jawapan:

الحمدلله رب العالمين و الصلاة و السلام علي أشرف الأنبياء و المرسلين
وعلي آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين ، أما بعد

Ya, solat tahajud tersebut diambil kira. Ini merujuk kepada makna tahajud yang telah disebut sebelum ini. Iaitulah 'tahajud' merujuk kepada solat sunat selepas bangun daripada tidur malam seperti firman Allah swt:
(ومن الليل فتهجد به نافلة لك (الإسراء: ٧٩
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu (al-Isra':79)
Oleh kerana anda belum solat fardhu isyak selepas terbangun daripada tidur, maka wajar bagi anda melakukan solat isyak terlebih dahulu. Selepas itu tunaikanlah solat sunat ba'diyyah isyak dan selepas itu barulah tunaikan solat sunat tahajud.

Sekian والله أعلم

Rujukan:
1) Islam Online

Disediakan oleh:
Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS